Kerajaan perlu segera laksana reformasi SPRM - Pemuda MCA

SHAH ALAM - Kerajaan perlu segera melaksanakan langkah reformasi institusi melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan meletakkan agensi itu di bawah bidang kuasa Parlimen dan bukan Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, terdapat kelemahan dalam prosedur operasi standard (SOP) SPRM yang harus diperbaiki segera bagi mengelak kesilapan daripada terus berulang.
Memberi contoh kes pertuduhan rasuah terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkaitan projek terowong dasar laut, beliau mempersoalkan tindakan agensi pencegahan rasuah itu tidak menyiasat peti besi yang didakwa mengandungi sebahagian daripada wang tunai RM79 juta hasil penjualan lot tanah di negeri berkenaan.
"Walaupun dakwaan dan keraguan telah dibangkitkan berkenaan projek terowong dasar laut di bawah Guan Eng sebelum ini, namun tiada tindakan diambil pada masa itu, secara langsung menghakis keyakinan rakyat terhadap badan penguatkuasaan negara.
"Ini membangkitkan perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat dan ramai tertanya bagaimana peti besi yang mengandungi wang bukti suapan rasuah boleh terlepas pandangan SPRM ketika itu.
"Sedangkan kediaman Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak digeledah pada malam pertama bulan Ramadan, dengan gambaran persepsi negatif cukup dahsyat," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini media melaporkan, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur diberitahu, SPRM tidak menggeledah peti besi yang menyimpan sebahagian daripada wang tunai RM79 juta hasil penjualan lot tanah di Pulau Pinang.
Bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli memaklumkan, pasukan siasatan SPRM hanya mengunjungi pejabatnya untuk menyita beberapa dokumen ketika menyiasat kes tersebut yang melibatkan bekas Menteri Kewangan itu.
Dalam pada itu menurut Choo Seong, situasi berkenaan secara langsung memberi bayangan kes rasuah membabitkan individu berprofil tinggi akan menerima 'layanan khas' berbanding kes rakyat marhaen.
"Bayangkan berapa banyak kes tidak dapat disiasat sepenuhnya kerana bukti gagal disita.
"Pengakuan saksi bahawa wang diberi kepada seorang ahli perniagaan, G Gnanaraja untuk menutup siasatan terhadap beliau dan Guan Eng adalah satu tamparan terhadap persepsi yang sering dimainkan DAP sebagai sebuah parti politik yang kononnya bersih dan bebas amalan rasuah," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
