Sultan Nazrin perkenan 115 guru baca khutbah esok

Dari kiri: Ahmad Fauzi, Suhaimi dan Wan Ahmad Salahuddin antara guru yang akan menyampaikan khutbah Jumaat sempena sambutan Hari Guru pada Jumaat.
Dari kiri: Ahmad Fauzi, Suhaimi dan Wan Ahmad Salahuddin antara guru yang akan menyampaikan khutbah Jumaat sempena sambutan Hari Guru pada Jumaat.
A
A
A

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan membenarkan seramai 115 orang pendidik di negeri ini untuk menyampaikan khutbah Jumaat sempena sambutan Hari Guru pada Jumaat.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, perkenan baginda itu merupakan pengiktirafan terhadap peranan penting golongan pendidik dan guru di negeri Perak.

Menurutnya, bersempena sambutan Hari Guru, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) telah menyediakan teks khutbah Jumaat bertajuk Guru Rabbani: Membangun Kemuliaan Insan untuk dibaca pada 16 Mei.

Mohd Annuar
Mohd Annuar

“Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri telah memperakukan nama 115 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di negeri Perak untuk diangkat sembah kepada Sultan Perak bagi mendapat perkenan baginda agar dibenarkan menyampaikan khutbah Jumaat sebagai khatib jemputan di masjid-masjid seluruh negeri.

“Mengiktiraf peranan penting pendidik dan guru, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah memperkenankan 115 orang pendidik di Perak untuk menyempurnakan peranan sebagai khatib jemputan di 115 buah masjid,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Antara individu yang diberikan perkenan menyampaikan khutbah ialah Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Perak, Wan Ahmad Salahuddin Wan Ahmad Rafaii yang dijadualkan menyampaikan khutbah di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak).

Artikel Berkaitan:

Turut terlibat ialah Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Al-Ummah, Suhaimi Latip yang dijadualkan menyampaikan khutbah di Masjid Muhajirin, Kampung Ulu Chepor; serta Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Kebangsaan Sungai Tiang Darat, Ahmad Fauzi Noordin, yang akan menyampaikan khutbah di Masjid Al-Wastiah, Kampung Sungai Haji Muhammad, Bagan Datuk.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!