Kematian pelajar SBP: JPN arah sekolah beri kerjasama penuh siasatan polis

JPN Perak mengarahkan pihak sekolah memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis berhubung insiden kematian seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga di sebuah SBP di daerah ini pada Rabu.
JPN Perak mengarahkan pihak sekolah memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis berhubung insiden kematian seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga di sebuah SBP di daerah ini pada Rabu.
A
A
A

KUALA KANGSAR – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak mengarahkan pihak sekolah memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis berhubung insiden kematian seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga di sebuah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di daerah ini pada Rabu.

Dalam satu kenyataan, JPN Perak memaklumkan pihaknya sedang memantau perkembangan insiden yang menyaksikan pelajar berkenaan ditemukan meninggal dunia di dalam bangunan sekolah.

“JPN Perak menzahirkan rasa dukacita yang mendalam atas pemergian pelajar ini.

“Jabatan ini akan memastikan komunikasi dengan keluarga mangsa dilaksanakan secara berhemah, penuh empati dan berterusan, selain menyediakan bantuan serta sokongan yang bersesuaian,” menurut kenyataan itu.

Jabatan berkenaan turut meminta semua pihak menghormati privasi keluarga mangsa dan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, khususnya menerusi media sosial.

Menurut kenyataan tersebut, tindakan itu penting bagi menjaga sensitiviti keluarga serta memastikan kelancaran proses siasatan yang sedang dijalankan.

JPN Perak turut memaklumkan bahawa pihaknya telah menyelaraskan penyediaan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling serta sokongan psikososial kepada pelajar, guru dan warga sekolah yang terkesan.

“Ini bagi memastikan kesejahteraan emosi mereka diberikan perhatian dan sokongan sewajarnya susulan insiden yang berlaku,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga di sekolah berkenaan dilaporkan ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di bangunan sekolah kira-kira jam 6 petang pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin mengesahkan kejadian tersebut ketika dihubungi.

Mayat mangsa difahamkan dibawa ke Hospital Taiping untuk menjalani bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!