APM pantau laporan bencana dikongsi di media sosial

Ghazali (lima dari kanan) menyantuni penerima penghargaan sempena Majlis Penghargaan Warga Angkatan Pertahanan Awam Perak di Pejabat Negeri Pertahanan Awam Perak di Ipoh pada Rabu.
Ghazali (lima dari kanan) menyantuni penerima penghargaan sempena Majlis Penghargaan Warga Angkatan Pertahanan Awam Perak di Pejabat Negeri Pertahanan Awam Perak di Ipoh pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut memanfaatkan perkongsian orang ramai di media sosial sebagai sumber maklumat awal bagi mengesan kejadian bencana sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi APM, Ghazali Abd Rahman berkata, maklumat yang dikongsi pengguna media sosial itu dipantau selain laporan diterima menerusi talian kecemasan dan agensi berkaitan.

Menurutnya, petugas di pusat kawalan operasi daerah akan meneliti setiap maklumat diterima sebelum mengarahkan pasukan APM menjalankan tinjauan awal di lokasi kejadian.

"Netizen kita sangat proaktif. Mereka akan berkongsi segala informasi berkaitan bencana yang berlaku di kawasan.

"Jadi itu juga antara platform yang kita gunakan untuk mengenal pasti kejadian bencana yang mungkin berlaku di kawasan bukan hotspot.

"Apabila menerima maklumat kecemasan itu, kita akan terus menggerakkan pasukan untuk mengambil tindakan tanpa menetapkan tempoh masa tertentu untuk respons," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Majlis Penghargaan Warga Angkatan Pertahanan Awam Perak di Pejabat Negeri Pertahanan Awam Perak di sini pada Rabu.

Hadir sama, Pengarah APM Perak, Rohaizat Hadli.

Ghazali berkata, setakat jam 2 petang, lima negeri iaitu Perak, Selangor, Sarawak, Melaka dan Negeri Sembilan terlibat dalam operasi bantuan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Artikel Berkaitan:

Katanya, keadaan bencana di negeri terbabit masih terkawal dengan keperluan anggota, aset dan logistik mencukupi tanpa memerlukan bantuan pasukan rentas negeri atau zon.

"Arahan telah diberikan kepada semua pengarah APM negeri supaya memastikan anggota dan aset berada dalam keadaan siap siaga untuk digerakkan apabila berlaku bencana banjir atau tanah runtuh.

"Kita juga sudah mengatur gerak pasukan sokongan (Civil Defence Auxiliary -CDA) bagi membantu dari segi keperluan logistik dan aset kepada pasukan APM yang ditugaskan di lokasi bencana," katanya.

Sementara itu, sempena majlis berkenaan, seramai 25 individu menerima Pingat Perkhidmatan Am dan Setia, manakala 14 penerima termasuk wakil lima organisasi media, antaranya Sinar Harian, dianugerahkan Sijil Penghargaan Pertahanan Awam.

Selain itu, tiga individu menerima Watikah Pelantikan Kehormat dan Bersekutu, manakala tiga lagi menerima watikah pelantikan sebagai Pegawai Bersekutu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!