Masjid halang khatib diperkenan Sultan Perak boleh dikenakan tindakan

Mohd Annuar pada sidang media di bangunan MAIPk pada Khamis. Foto Bernama
--fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mohd Annuar pada sidang media di bangunan MAIPk pada Khamis. Foto Bernama --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A
A

IPOH - Masjid tidak mempunyai kuasa menghalang mana-mana individu yang telah diperkenan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk menyampaikan khutbah Jumaat.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, tindakan itu dianggap sebagai ingkar kepada titah sultan dan boleh dikenakan tindakan.

Menurutnya, sebagai makluman, seramai 81 pemimpin belia dari seluruh negeri telah mendapat perkenan Sultan Perak untuk menjadi khatib jemputan sempena sambutan Hari Belia Negara pada 9 Mei disusuli beberapa lagi sempen Hari Guru pada minggu berikutnya.

"Tujuannya adalah untuk membuka peluang kepada lebih ramai menyampaikan khutbah termasuk guru, askar, polis, doktor dan sebagainya mengikut kepakaran masing-masing. Ini juga sebagai pengiktirafan kepada golongan muda termasuk golongan huffaz dan graduan dari universiti Islam.

"Jika ada pengerusi masjid yang tidak benarkan, itu merupakan satu tindakan ingkar. Mereka perlu hormati perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan," katanya pada sidang media di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini pada Khamis.

Mohd Annuar berkata, langkah itu merupakan sebahagaian usaha untuk mendemokrasikan masjid agar tidak hanya bergantung kepada imam tetap semata-mata.

Beliau turut menegaskan, mana-mana pengerusi masjid yang bertindak menyekat khatib diperkenan Sultan Nazrin boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

"Kalau ada pula pengerusi masjid yang nak jadi 'Little Napoleon' nak tunjuk kuasa dia, pada saya sudah ingkar kepada perintah sultan. Kita akan ambil tindakan atasnya.

"Kalau saya ada kuasa-kuasa yang diperuntukkan dalam enakmen, jawatan dia boleh digantung, saya akan gantung untuk buat siasatan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengenai pemilihan khatib dalam kalangan belia itu, Mohd Annuar berkata, permohonan telah dikemukakan oleh Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Perak untuk membolehkan mereka menyampaikan khutbah Jumaat di 81 buah masjid yang disenaraikan.

Katanya, senarai nama tersebut telah diangkat sembah kepada Sultan Nazrin dan mendapat perkenan baginda.

Khutbah Jumaat esok bertajuk Belia Berkeyakinan Memenuhi Cabaran Dunia dan Akhirat turut disediakan bagi menyokong usaha memperkasa peranan anak muda dalam masyarakat dan agama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!