Cura Batik angkat keunikan seni warisan Perak

IPOH - Seramai 20 petugas media di Perak berpeluang melihat sendiri keunikan seni batik tempatan menerusi lawatan ke Butik Cura Batik di Basco Avenue Kepayang di sini pada Selasa.
Lawatan bersama Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) itu memberi peluang kepada pengamal media mengenali lebih dekat koleksi batik yang mengetengahkan identiti dan keistimewaan seni warisan negeri.
Cura Batik merupakan jenama premium yang mengangkat Batik Perak bermotifkan Bunga Kelumpang sebagai lambang kebanggaan dan identiti rasmi negeri ini.
Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat Strategik MB Inc, Zul Helmi Ghazali berkata, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian usaha memperkukuh industri kreatif negeri dengan menghubungkan seni tradisi kepada pasaran komersial.

Menurutnya, penubuhan Cura Batik membolehkan seni batik tempatan diketengahkan dalam bentuk lebih eksklusif dan berprestij, sekali gus memberikan nilai tambah kepada hasil kraf negeri.
"MB Inc turut memperkenalkan CITA by Cura Batik sebagai subjenama yang menawarkan pendekatan lebih kontemporari, versatil dan mampu milik bagi mendekatkan Batik Perak kepada masyarakat.
"Usaha ini bukan sahaja mengangkat martabat seni warisan tempatan, malah membuka ruang menjana nilai ekonomi mampan kepada penggiat industri kraf negeri," katanya.
Keunikan Batik Perak bakal terus diketengahkan menerusi Majlis Pelancaran Batik Perak yang dijadual berlangsung pada 20 November ini di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Majlis itu dijadual diserikan dengan keberangkatan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


