Khutbah Jumaat nasihat guru pamer akhlak mulia di media sosial

Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Maahad Al-Ummah, Suhaimi Latip membacakan khutbah Jumaat di Masjid Al-Muhajirin, Kampung Ulu Chepor, Ipoh pada Jumaat.
Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Maahad Al-Ummah, Suhaimi Latip membacakan khutbah Jumaat di Masjid Al-Muhajirin, Kampung Ulu Chepor, Ipoh pada Jumaat.
A
A
A

IPOH – Golongan pendidik dinasihatkan agar menjaga tingkah laku di ruang awam termasuk dalam media sosial supaya sentiasa mencerminkan keperibadian mulia sebagai seorang guru.

Pesanan itu disampaikan menerusi khutbah Jumaat sempena sambutan Hari Guru bertajuk 'Guru Rabbani: Membangun Kemuliaan Insan' yang dibacakan di seluruh masjid di Perak pada Jumaat.

Khutbah terbitan Jabatan Agama Islam Perak itu mengingatkan bahawa guru adalah cerminan ilmu dan budi pekerti justeru sebarang tindakan yang boleh mencemar maruah diri termasuk memuat naik kandungan tidak wajar di media sosial perlu dielakkan.

“Ciri-ciri guru rabbani hendaklah mempamerkan sikap selayaknya seorang guru. Tidak melakukan perbuatan yang mencemari maruah seorang guru dari segi tingkah laku atau memuat naik kandungan yang tidak mencerminkan nilai-nila seorang ilmuwan dalam media sosial.

"Mengamalkan ilmu yang dimiliki serta memiliki sifat-sifat mulia seperti sabar, tekun, teliti, prihatin, amanah dan berdaya menyelami jiwa dan memahami permasalahan anak didik seterusnya membimbing anak didik dengan penuh kasih sayang,” tegas khutbah tersebut.

Mimbar turut menekankan empat ciri utama guru rabbani iaitu ikhlas dalam menyampaikan ilmu; tekun menambah ilmu dan kemahiran; menunjukkan akhlak mulia dalam tingkah laku, serta mengamalkan ilmu dengan penuh kesabaran, kasih sayang dan amanah.

Khutbah menjelaskan bahawa guru memainkan peranan besar dalam membentuk akhlak generasi muda, selain mengajar ilmu dunia dan akhirat agar anak didik menjadi insan berilmu, beradab dan bertanggungjawab kepada agama, masyarakat dan negara.

“Guru adalah penyambung tugas Rasulullah SAW. Mereka mendidik bukan hanya dengan ilmu, tetapi dengan teladan dan kasih sayang, membimbing anak didik ke arah mengenal tuhan dan menunaikan tanggungjawab sebagai hamba-Nya.

Artikel Berkaitan:

“Guru rabbani akan membimbing anak-anak didik untuk menjadi insan yang berakhlak tinggi, jujur, menghormati sesama insan, dan mampu membezakan antara fitnah dengan kebenaran,” kata khutbah berkenaan.

Sempena Hari Guru, umat Islam diseru menghargai jasa dan pengorbanan para pendidik dengan mendoakan kesejahteraan mereka serta menghormati kedudukan guru sebagai pembina kemuliaan insan.

Khutbah tersebut menyifatkan guru sebagai insan yang wajar dihormati dan dihargai kerana jasa mereka terlalu besar dalam mencorak masa depan anak bangsa.

“Jikalau hari ini, seorang raja menaiki takhta, jikalau hari ini seorang ulama bertaraf mulia, jikalau hari ini seorang menteri memiliki kuasa, jikalau hari

ini seorang peguam menang bicara, jikalau hari ini seorang menjadi penulis terkemuka, sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa, dengan lembut sabarnya mengajar tulis, baca dan membimbing manusia menjadi dewasa.

"Guru ibarat ibu, bapa dan sahabat dalam hidup insan. Semakin terpencil duduknya di ceruk desa, semakin bererti tugasnya kepada negara,” ujar mimbar.

Pada Khamis, media melaporkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan membenarkan seramai 115 orang pendidik di negeri ini untuk menyampaikan khutbah Jumaat sempena sambutan Hari Guru pada Jumaat.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, perkenan baginda itu merupakan pengiktirafan terhadap peranan penting golongan pendidik dan guru di negeri Perak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!