4 warga Myanmar didakwa miliki 179,000 liter diesel, tidak dibenar ikat jamin

Empat lelaki warga Myanmar dibawa untuk dituduh di Mahkamah Majistret Rompin pada Jumaat.
Empat lelaki warga Myanmar dibawa untuk dituduh di Mahkamah Majistret Rompin pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - Empat lelaki warga Myanmar yang ditahan susulan rampasan kapal bersama 179,407 liter diesel di sebuah jeti di Kuala Pahang pada 11 Mei lalu telah dihadapkan ke mahkamah pada Jumaat.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang, Jezlily Jamaluddin berkata, kes berkenaan telah dibawa dan dibacakan di Mahkamah Majistret Rompin.

Menurutnya, semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana melanggar Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Jika disabitkan bersalah, pihak terlibat boleh didenda tidak melebihi RM1 juta dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau, dalam prosiding tersebut, semua tertuduh tidak dapat membuat sebarang pengakuan kerana tidak fasih berbahasa Melayu dan tiada jurubahasa Myanmar yang bertugas di Mahkamah Majistret Rompin.

“Mahkamah telah mengarahkan semua tertuduh ditahan reman sehingga 17 Jun depan untuk pelantikan jurubahasa. Permohonan ikat jamin oleh wakil peguam turut ditolak,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata KPDN mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menjadi ‘mata dan telinga’ kementerian melalui inisiatif Kita Gempur.

Katanya, langkah strategik kerajaan itu bertujuan membentuk gerakan massa dalam usaha membanteras manipulasi dalam aktiviti perniagaan dan ketirisan melibatkan barangan kawalan serta barangan bersubsidi.

“Sebarang aktiviti mencurigakan oleh peniaga boleh dilaporkan melalui pelbagai saluran aduan yang telah disediakan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam operasi pada 11 Mei lalu, penguat kuasa KPDN Pahang telah menyita diesel dianggarkan sebanyak 179,407 liter bersama sebuah kapal, dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM1.5 juta.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!