KPDN sita, kompaun lebih RM40,000 operasi harga musim perayaan tahun lepas

A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merekodkan 240 tindakan kes dengan sitaan dan kompaun lebih RM40,000 menerusi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sepanjang tahun lalu.

Ketua Pengarah Bahagian Penguat kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, bagi tempoh itu, pihaknya telah melaksanakan enam kali pelaksanaan skim iaitu bagi perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali, Pesta Kaamatan, Hari Gawai dan Krismas.

Azman
Azman

Menurutnya, SHMMP ini dilaksanakan bagi menstabilkan harga barang keperluan utama pengguna ketika menyambut perayaan-perayaan utama.

"Sepanjang pelaksanaan skim ini pada tahun lepas, sebanyak 22,294 pemeriksaan telah dijalankan ke atas premis perniagaan di seluruh negara merangkumi 383 pemeriksaan ke atas premis pengeluar dan borong serta 21,911 premis runcit.

"Hasil pemeriksaan sebanyak 240 tindakan kes telah diambil terhadap peniaga yang didapati melanggar perundangan berkaitan skim melibatkan sitaan bernilai RM15,840.75 serta kompaun bernilai RM26,100," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, sepanjang pelaksanaan operasi itu, KPDN mendapat kerjasama yang baik dari peniaga dan pihak industri di seluruh negara.

Katanya, KPDN juga telah menerima kerjasama yang baik menerusi dari rakan strategik seperti Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta agensi-agensi kerajaan yang lain dalam memastikan bekalan barangan yang dikawal adalah mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan skim terbabit.

Artikel Berkaitan:

"KPDN akan meneruskan pelaksanaan SHMMP pada tahun ini bagi menjamin pengguna akan dapat menikmati sambutan perayaan tanpa sebarang insiden kenaikan harga yang tidak munasabah," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!