Penduduk bantah bina bangunan 12 tingkat, dakwa beri kesan kepada kampung

PUTATAN - Kira-kira 100 penduduk Kampung Muhibbah Lama, Petagas, di sini, berhimpun secara aman pada Rabu, bagi membantah cadangan pembinaan bangunan 12 tingkat di atas tanah seluas kira-kira 0.8 hektar di kampung itu.
Perhimpunan itu diadakan selepas mereka menerima notis pemakluman berhubung pembangunan tersebut yang didakwa telah mendapat kelulusan daripada beberapa agensi kerajaan.
Wakil penduduk, Kanny Chew Ly Choi, 39, berkata, himpunan itu diadakan secara aman bagi menyampaikan suara penduduk yang mahukan keadilan dan penjelasan sewajarnya daripada pihak pemaju.

"Dengan adanya pembangunan ini, kami mahu tahu bagaimana projek ini mendapat kelulusan memandangkan lokasi ini berada dalam zon lapangan terbang (kurang dua kilometer dari landasan) yang diklasifikasikan sebagai zon merah. Bangunan setinggi 12 tingkat di kawasan ini sangat membimbangkan.
"Menurut maklumat yang diterima, pemaju telah mendapat kelulusan daripada tujuh agensi termasuk bomba dan pihak berkuasa tempatan (PBT), jadi kami memohon penjelasan rasmi agar penduduk tidak terus tertanya-tanya," katanya pada sidang akhbar di kampung berkenaan.
Mengulas lanjut, Kanny yang juga Exco Pemuda Perikatan Nasional (PN) Sabah mendakwa bahawa dengan pembinaan bangunan tinggi di kawasan tersebut dibimbangi akan memberi kesan besar kepada penduduk setempat.
"Jika projek ini diteruskan, kemungkinan besar berlaku banjir kerana sistem saliran akan terganggu. Selain itu, kesesakan lalu lintas akan bertambah memandangkan kawasan ini memang sedia padat dan sempit. Privasi penduduk juga pasti terjejas.
"Difahamkan projek ini akan mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan. Sudah tentu ia akan memberi kesan fizikal kepada rumah-rumah berhampiran, dari segi kerosakan struktur dan gangguan harian.
"Jadi, kami ingin tahu apakah jaminan pihak pemaju terhadap keselamatan dan keselesaan penduduk sepanjang tempoh pembinaan," tegasnya.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkaitan tampil memberi penjelasan agar wujud situasi menang-menang antara pemaju dan penduduk kampung.
Dalam masa sama, Kanny turut berharap agar pemilik tanah persendirian terbabit mempertimbangkan nasib lima rumah penduduk yang telah didirikan di atas tanah itu sejak lebih 50 tahun lalu.
"Difahamkan rumah-rumah tersebut akan dirobohkan dalam masa terdekat. Justeru, kami menggesa agar rundingan diadakan melibatkan Ahli Parlimen Putatan Datuk Shahelmey Yahya dan pihak berkuasa tempatan bagi mencari jalan penyelesaian yang adil," katanya.
Seorang lagi penduduk, Sharif Rais Sharif Baba, 70, yang telah mendiami kampung itu sejak lebih lima dekad, mendakwa bahawa mereka tidak pernah dimaklumkan mengenai sebarang pembangunan sehinggalah menerima notis pada akhir April lalu.

"Pada mulanya kami tidak tahu, tiba-tiba pemaju datang dan terus masuk kawasan tanpa sebarang makluman. Mereka juga menandakan rumah sebagai kawasan yang akan dirobohkan.
"Penduduk hanya diberi tempoh 30 hari sebelum kerja-kerja merobohkan struktur dijalankan. Kami kemudian memaklumkan perkara ini kepada Shahelmey supaya rundingan dapat diadakan," katanya.
Tambahnya, rata-rata penduduk membantah projek tersebut atas beberapa faktor termasuk isu trafik, sistem pengairan yang boleh menyebabkan banjir serta kebimbangan keselamatan.
"Selama ini tiada sebarang pertemuan rasmi antara pemaju dan penduduk. Notis itu adalah makluman pertama yang kami terima bahawa kawasan ini akan dibangunkan. Sepatutnya pemaju atau pemilik tanah memaklumkan kepada kami lebih awal," katanya.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffrey Nor berkata, penduduk tidak berniat untuk menolak pembangunan, namun ia akan memberi kesan terhadap mereka dan perkara ini perlu diberi perhatian.

"Kita faham tanah itu milik persendirian, tetapi ia berada dalam kawasan kampung yang telah lama wujud. Saya difahamkan tanah tersebut juga tidak mempunyai jalan keluar, jadi timbul persoalan bagaimana projek ini mendapat kelulusan dari sudut akses laluan.
"Kami tidak menghalang pembangunan, tetapi kawasan kampung seperti ini ada nilai sentimental yang perlu dihormati. Perlu ada penyelesaian yang adil untuk semua pihak," katanya.
Oleh itu, beliau berharap pihak PBT dapat memainkan peranan mereka supaya situasi menang menang antara kedua pihak dapat dicapai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!