Penduduk Kampung Parit Gantong bimbang ancaman sang bedal

M Nazri (tengah) menunjukkan lokasi buaya seberat 410kg ditangkap di Kampung Parit Gantong Batu Pahat pada Rabu.
M Nazri (tengah) menunjukkan lokasi buaya seberat 410kg ditangkap di Kampung Parit Gantong Batu Pahat pada Rabu.
A
A
A

BATU PAHAT – Kemunculan buaya di kawasan berpaya berhampiran Sungai Batu Pahat menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk dan penternak di Kampung Parit Gantong di sini apabila tiga reptilia itu ditangkap dalam tempoh seminggu.

Kehadiran reptilia itu menimbulkan ancaman selepas berlaku serangan terhadap haiwan ternakan dan penemuan sarang dan telur buaya.

Seorang penduduk, M Nazri Sadikin, 50, berkata, sejak tiga tahun lalu, penduduk kampung kerap melihat buaya naik ke daratan berhampiran ladang kelapa sawit dan lokasi penternakan lembu dan kambing.

Menurutnya, seekor kambing ternakannya dibaham buaya sebelum haiwan itu ditangkap penduduk kampung pada Jumaat.

“Sudah beberapa kali saya nampak ekor buaya dari kawasan paya dekat sungai yang terletak 20 meter dari kandang kambing. Saiznya cukup besar dan berwarna kuning kehitaman, sudah tentu bukan biawak.

Mohd Fitri (kiri) menunjukkan sarang buaya bertelur di kawasan paya dalam kebun kelapa sawit di Kampung Parit Gantong Batu Pahat.
Mohd Fitri (kiri) menunjukkan sarang buaya bertelur di kawasan paya dalam kebun kelapa sawit di Kampung Parit Gantong Batu Pahat.

"Cuma sebelum ini reptilia itu tidak mengganggu dan mengancam haiwan ternakan penduduk. Penduduk masih terkejut dengan kehadiran buaya walaupun sudah ditangkap.

"Mujurlah yang disambar itu kambing, bagaimana kalau nasib sama menimpa kanak-kanak memandangkan jarak sungai dengan kampung terletak hanya kurang satu kilometer," katanya.

Mohd Fitri Azizi, 44, pula berkata serangan terhadap haiwan ternakan mungkin petanda sumber makanan buaya seperti ikan dan udang di Sungai Batu Pahat kini semakin berkurangan.

Artikel Berkaitan:

"Ini amat membimbangkan kerana buaya sudah mula masuk ke kawasan kebun dan penempatan. Haiwan itu agresif dan cukup berbahaya.

"Saya sendiri terbabit dalam operasi menangkap buaya bersama pihak berkuasa yang lain pada Rabu dan Jumaat. Operasi menangkap buaya ambil masa lebih dua jam," katanya.

Sementara itu, penternak lembu, Faizal Abdul Muntalib, 40, mengakui bimbang dengan keselamatan haiwan ternakan yang ditambat di tepi kebun kelapa sawit.

Faizal
Faizal

"Ada lebih 20 penternak lembu di sini dan rata-ratanya menambat lembu di tepi kebun kelapa sawit. Buat masa sekarang, saya lebih kerap meronda melihat lembu yang ditambat risau pula jadi mangsa sang bedal," katanya.

Faizal berkata, dia berharap pihak berkuasa mengambil langkah sewajarnya bagi membendung peningkatan jumlah buaya di Sungai Batu Pahat bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Pada Jumaat, seekor buaya tembaga berjaya ditangkap penduduk di Kampung Parit Gantong, menjadikan ia tangkapan kedua dalam tempoh dua hari.

Buaya betina seberat kira-kira 300 kilogram (kg) dan sepanjang tiga meter itu ditemui bersidai berhampiran tebing anak Sungai Batu Pahat pada kira-kira jam 9 pagi, dipercayai selepas membaham seekor kambing ternakan penduduk.

Sungai Batu Pahat berdekatan Kampung Parit Gantong yang dipercayai menjadi habitat buaya.
Sungai Batu Pahat berdekatan Kampung Parit Gantong yang dipercayai menjadi habitat buaya.

Pada hari yang sama, seekor anak buaya sepanjang satu meter ditemui dan ditangkap bomba di bilik air rumah seorang penduduk kampung.

Sebelum itu pada Rabu, seekor buaya betina seberat 410kg dipercayai ‘penunggu’ Sungai Batu Pahat berjaya ditangkap sekumpulan pemuda di kampung itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!