Iktibar di sebalik kisah ibu gajah

Ibu gajah setia menemani anaknya yang berada di bawah lori akibat dilanggar di Gerik, Perak.
Ibu gajah setia menemani anaknya yang berada di bawah lori akibat dilanggar di Gerik, Perak.
A
A
A

SABAN hari media melaporkan kisah tragis mengenai kanak-kanak atau bayi yang didera, diabaikan, malah dibunuh oleh mereka yang sepatutnya menjadi pelindung utama sama ada ibu, bapa atau ahli keluarga terdekat.

Namun, di sebalik kisah mengenai kekejaman manusia, kita ‘dihidangkan’ dengan kisah menyayat hati, kisah seekor anak gajah yang mati dilanggar sebuah lori di Gerik, Perak.

Betapa si ibu tetap setia menemani anaknya yang berada di bawah lori. Enggan berganjak, dari gelap membawa ke siang hari.

Kejadian memilukan itu kebetulan pula berlaku ketika kita meraikan sambutan Hari Ibu, menjentik hati sesiapa sahaja yang masih memiliki naluri belas kasihan melihat tindakan si ibu gajah tidak berganjak, seolah-olah masih berharap anaknya bangkit semula.

Naluri kasih jelas kelihatan, lahir daripada ikatan suci antara ibu dan anak. Jika gajah mampu menunjukkan kasih sebegitu luhur, apakah alasan manusia untuk menyakiti darah daging sendiri hingga ada yang sanggup meragut nyawa.

Menyedihkan kerana kes penderaan kanak-kanak tetap dilaporkan, berlaku dan terus berlaku tanpa ada penghujungnya.

Tubuh kecil didera tanpa belas kasihan, meninggalkan trauma mendalam dan lebih sadis jika ada nyawa yang melayang dengan sia-sia.

Dengan berita-berita penderaan dan pengabaian kanak-kanak, ia sebenarnya mencerminkan krisis yang semakin parah dalam institusi kekeluargaan.

Artikel Berkaitan:

Pindaan undang-undang telah dibuat pada 2016, sekali gus menunjukkan betapa seriusnya Parlimen ketika itu terhadap kes jenayah melibatkan kanak-kanak.

Kerajaan telah mengambil langkah tegas dengan meminda Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Pindaan tersebut meningkatkan hukuman terhadap ibu bapa atau penjaga yang melakukan pengabaian terhadap kanak-kanak.

Jika sebelum ini pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun, kini hukuman telah dinaikkan kepada denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pindaan tersebut bukan sekadar formaliti undang-undang tetapi satu mesej jelas negara tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menyakiti anak kecil.

Sering alasan yang diberikan sehingga berlaku kes penderaan kerana masalah kewangan, tekanan hidup dan masalah rumah tangga.

Namun, tiada justifikasi yang boleh diterima untuk menjadikan anak sebagai mangsa kerana ini bukan soal miskin atau kaya, tetapi ia nilai kemanusiaan dan tanggungjawab terutama golongan muda yang baru mendirikan rumah tangga.

Kes penderaan bayi lelaki berusia dua bulan yang berlaku di Alor Gajah, Melaka, minggu lalu misalnya, disyaki dilakukan oleh ibu bapa bayi berkenaan.

Dalam hal ini, semua pihak perlu memainkan peranan. Masyarakat dan jiran perlu kembali bersikap ‘menjaga tepi kain’ sesama tetangga.

Jadilah ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa bagi mengesan sekiranya berlaku kejadian dera di kawasan setempat.

Undang-undang juga harus ditegakkan dengan lebih tegas. Hukuman berat sahaja tidak cukup.

Pencegahan melalui pendidikan awal keibubapaan dan sokongan mental juga perlu diberi keutamaan kerana kanak-kanak adalah amanah, bukan beban.

Setiap senyuman mereka adalah harapan masa depan. Jangan biarkan dunia ini menjadi tempat yang ditakuti oleh mereka.

Jika gajah pun mampu menyayangi anaknya tanpa batasan, mengapa manusia memilih untuk menyakiti?

Semoga kisah kasih sayang seekor ibu gajah yang kehilangan anaknya itu dapat kita jadikan iktibar.

Semoga ia dapat menjentik hati mereka yang tidak mensyukuri nikmat dikurniakan cahaya mata hingga sanggup menzalimi anak sendiri.

Ingatlah, menjadi ibu bukan sekadar melahirkan tetapi menjaga, melindungi dan mengasihi anak tanpa syarat.

* Nor Farhana Yaacob ialah wartawan Sinar Harian Melaka dan Negeri Sembilan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!