Gajah boleh 'kunci' dalam ingatan, kembali lawat kawasan anak mati

KUALA LUMPUR – Gajah merupakan haiwan yang menakjubkan kerana memiliki keupayaan spatial (ruang) termasuk keupayaan untuk mengingati sesuatu kawasan, walaupun telah melaluinya selepas tempoh yang lama.
Pensyarah Kanan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Jamhuri Jamaluddin berkata, dengan keupayaan tersebut, gajah boleh mengingati laluan yang pernah dilaluinya meskipun haiwan itu telah dipindahkan ke kawasan lain yang lebih jauh.
Sehubungan itu, beliau yang kini menjalankan penyelidikan di bawah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bertajuk "Pemantauan Pergerakan dan Analisis Gajah", tidak menolak kemungkinan ibu gajah yang anaknya mati akibat dilanggar lori di Gerik, Perak, pada Ahad lepas, akan kembali ke lokasi kejadian.
“Gajah mempunyai ingatan spatial termasuk keupayaan mengingati kawasan dan memahami konsep kematian. Ia boleh ‘mengunci’ kawasan itu dalam ingatannya dan kembali untuk melawat. Itulah kelebihan naluri gajah dan sains masih belum dapat membuktikan secara jelas bagaimana ia mampu mengingatinya,” katanya kepada Bernama pada Rabu.
Selain itu, Dr Jamhuri berkata, gajah merupakan haiwan mamalia yang mempamerkan tingkah laku sosial mengagumkan dengan membina hubungan emosional yang kuat sesama ahli kumpulan.
Gajah Faham Kematian dan Tunjuk Emosi
“Kecerdasan emosi gajah bukan mitos kerana haiwan ini memahami konsep kematian dan menyedari keberadaan ahli keluarganya yang telah mati. Kadangkala haiwan itu kembali ke tempat yang sama walaupun hanya tinggal rangka,” katanya.
Beliau berkata, hubungan dalam kalangan gajah bukan sekadar bersifat biologi, tetapi juga sosial dan emosi, sehinggakan seekor ibu gajah akan menjaga anaknya selama bertahun-tahun.
Pada Ahad, tular di media sosial mengenai seekor anak gajah jantan dianggarkan berusia lima tahun yang maut selepas dilanggar sebuah lori muatan ayam di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik–Jeli.
Kejadian yang berlaku pada sambutan Hari Ibu itu meruntun jiwa rakyat Malaysia apabila ibu gajah tersebut dilihat cuba membawa keluar anaknya yang tersepit di bawah lori serta setia menunggu di situ. Malah, ia turut dilaporkan mengalirkan air mata sambil meratapi nasib anaknya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!