[VIDEO] Anggota tentera direman cabul pelajar Tingkatan Satu

A
A
A

MELAKA – Seorang sarjan tentera direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah di sini, pada Rabu kerana didakwa mencabul seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu di sebuah sekolah berasrama penuh, minggu lalu.

Perintah reman terhadap pegawai tentera berusia 32 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Dr Teoh Shu Yee bermula Rabu hingga sehingga Selasa ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan penahanan terhadap suspek yang telah berkahwin itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.

"Suspek ditahan di Pejabat Bahagian Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka, kira-kira jam 6.30 petang Selasa lalu," katanya.

Sumber berkata, kejadian yang menimpa mangsa berusia 13 tahun telah diketahui oleh ibu mangsa berusia 33 tahun pada Ahad lalu ketika memeriksa telefon bimbit anak sulungnya itu.

Suspek yang merupakan sarjan tentera direman tujuh hari bagi membantu siasatan selepas disyaki mencabul seorang pelajar perempuan.
Suspek yang merupakan sarjan tentera direman tujuh hari bagi membantu siasatan selepas disyaki mencabul seorang pelajar perempuan.

Menurutnya, pengadu yang juga suri rumah ternampak mesej perbualan anaknya dengan suspek yang juga merupakan jirannya itu.

"Pengadu telah bertanyakan perkara itu dan mangsa akhirnya mengaku menyimpan nombor telefon suspek selain telah beberapa kali keluar dengan anggota tentera terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa turut mengakui suspek pernah memegang paha dan badan mangsa semasa berada di dalam kereta suspek di kawasan sekitar pekan Alor Gajah," katanya.

Tambahnya, berdasarkan pengakuan mangsa, suri rumah terbabit telah membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Sungai Baru dan membawa mangsa ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut.

Ujarnya, hasil siasatan polis mendapati, suami pengadu juga bekerja sebagai tentera berpangkat koperal di Kem Terendak dan mangsa adalah pelajar di sebuah sekolah berasrama penuh.

Ujarnya, siasatan lanjut yang dijalankan mendapati suspek ada membawa mangsa bersiar-siar di sekitar kawasan Alor Gajah sebelum mencabul mangsa beberapa kali di dalam kereta.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!