Sudah tiba masa perketat undang-undang kes dera haiwan

Kesedaran masyarakat terhadap kepentingan melindungi haiwan juga perlu diperkukuh melalui pendidikan dan kempen berterusan. Gambar hiasan
Kesedaran masyarakat terhadap kepentingan melindungi haiwan juga perlu diperkukuh melalui pendidikan dan kempen berterusan. Gambar hiasan
A
A
A

KEBELAKANGAN ini, kes penderaan terhadap haiwan semakin kerap mendapat perhatian masyarakat.

Video dan gambar haiwan dipukul, diabaikan atau dibunuh sering tular di media sosial, sekali gus mencetuskan kemarahan masyarakat yang melihat.

Hakikatnya, penderaan terhadap haiwan bukan isu baharu, tetapi semakin membimbangkan apabila ada pelaku yang seolah-olah tidak berasa bersalah langsung atas perbuatan mereka.

Lebih memburukkan keadaan, ada pula yang merakam dan menyebarkan aksi penderaan itu dengan bangga seolah-olah tidak takut kepada undang-undang.

Terbaharu, seekor kucing peliharaan cedera dipercayai dipukul dan dibaling ke kawasan rumah tidak berpenghuni oleh seorang lelaki warga emas dalam kejadian di Taman Yayasan, Buloh Kasap di Segamat, Johor, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, pihaknya mengesan rakaman video dan gambar tular di media sosial yang memaparkan seekor kucing dalam keadaan berdarah dan cedera.

Perbuatan itu bukan sahaja kejam, malah menunjukkan masih wujud segelintir individu yang tidak menganggap haiwan sebagai makhluk yang perlu dilayan dengan belas ihsan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ada juga kes melibatkan haiwan yang langsung tidak mengancam keselamatan, namun tetap menjadi mangsa kekejaman manusia.

Kita mungkin faham jika tindakan terpaksa diambil ke atas haiwan liar yang mengancam nyawa atau keselamatan, tetapi bagaimana pula dengan haiwan peliharaan yang tidak bersalah?

Dalam banyak kes, haiwan tersebut disakiti, dibunuh atau dibuang hanya kerana masalah kecil seperti mengganggu halaman, berbunyi bising atau tidak disukai oleh jiran.

Apa yang lebih mengecewakan, kes seperti ini terus berulang meskipun negara telah mempunyai undang-undang yang jelas berkaitan kebajikan haiwan.

Suspek dalam kes terbaharu disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana membunuh atau mencederakan haiwan.

Namun, peruntukan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda dilihat belum cukup memberi kesedaran kepada masyarakat.

Sebahagian pelaku hanya menerima hukuman ringan atau dibebaskan selepas memberi alasan tertentu yang kononnya boleh diterima akal.

Penguatkuasaan undang-undang pula sering kali dilihat hanya berlaku selepas sesuatu kes menjadi tular dan mendapat perhatian umum.

Situasi ini menimbulkan persoalan tentang sejauh mana undang-undang sedia ada benar-benar mampu melindungi kebajikan haiwan secara menyeluruh.

Sudah tiba masanya peruntukan sedia ada diteliti semula agar lebih bersifat pencegahan dan tidak hanya bergantung kepada aduan atau tekanan awam.

Pada masa sama, kesedaran masyarakat terhadap kepentingan melindungi haiwan juga perlu diperkukuh melalui pendidikan dan kempen berterusan.

Akhirnya, persoalan yang perlu kita renungkan bersama ialah, adakah kita sebagai masyarakat telah cukup menghargai dan melindungi makhluk yang tidak mampu bersuara ini?

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!