SOP konvoi keselamatan ketat

SHAH ALAM - Jarak pemanduan pergerakan antara kenderaan, ketetapan had laju dan tahap kesihatan pemandu antara prosedur operasi standard (SOP) yang wajib dipatuhi anggota keselamatan negara termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).
Penganalisis keselamatan, Zaki Salleh berkata, konvoi atau pergerakan melibatkan kenderaan tentera dan polis dilaksanakan dengan sistematik selepas mendapat arahan daripada pegawai bertugas, bahkan tidak boleh dilanggar sesuka hati.
Menurutnya, faktor keselamatan seperti keadaan kenderaan juga ditentukan oleh pemandu sebelum memulakan perjalanan ke destinasi tertentu.
“Kebiasaannya apa-apa konvoi membabitkan kenderaan tentera dan polis memang sistematik kerana ia ada dalam arahan.
"Sebelum itu, akan ada taklimat tentang pergerakan susulan misalnya kenderaan apa yang berada di depan, di tengah serta di belakang.
“Jika dilihat kes kemalangan melibatkan trak FRU, kejadian berlaku di kawasan kampung serta jalan persekutuan, jadi had laju mungkin antara 70 hingga 80 kilometer (KM) per jam. Anggota FRU memang takkan bawa melebihi had laju ditetapkan.
“Kalau trak FRU, pegawai akan jelaskan berapa had laju dibenarkan kemudian mereka wajib berhenti untuk berehat,” katanya.
Mengulas lanjut, Zaki memaklumkan, trak tentera atau polis berbeza dengan kenderaan awam memandangkan fungsinya adalah untuk mengangkut anggota di bahagian tempat duduk belakang dan reka bentuknya yang terbuka menyumbang kepada risiko kemalangan buruk.
Pada Selasa, tujuh konvoi kenderaan FRU dalam perjalanan pulang ke Ipoh setelah selesai penugasan perayaan Chitra Pournami di daerah Hilir Perak.
Bagaimanapun, kenderaan membawa 18 anggota yang berada pada kedudukan kelima konvoi itu telah dirempuh lori membawa muatan batu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!