CSR Karangkraf-Nestle dekati masyarakat B40

Firdaus (duduk, dua dari kiri) bersama Nik Justin (duduk, empat dari kanan) bergambar bersama penerima sumbangan al-Quran dan produk Nestle sempena program CSR 2026 Karangkraf x Nestle Ramadan Food Drive di Pangsapuri Teratai Taman Bukit Subang, Shah Alam pada Khamis
Firdaus (duduk, dua dari kiri) bersama Nik Justin (duduk, empat dari kanan) bergambar bersama penerima sumbangan al-Quran dan produk Nestle sempena program CSR 2026 Karangkraf x Nestle Ramadan Food Drive di Pangsapuri Teratai Taman Bukit Subang, Shah Alam pada Khamis
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 100 keluarga di Pangsapuri Teratai, Taman Bukit Subang di sini menjadi kumpulan penerima pertama bagi Program Karangkraf Ramadan Food Drive 2026 yang diadakan pada Khamis.

Lebih bermakna lagi, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Karangkraf dengan kerjasama Nestle Malaysia itu turut berjalan serentak dengan Kempen 1 Rumah 1 Al-Quran Karya Bestari yang dilaksanakan bagi menyemarakkan lagi sambutan Ramadan tahun ini.

Menerusi program berkenaan, setiap penerima yang terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) menerima satu set barangan keperluan asas terdiri daripada makanan dan alat penjagaan diri bernilai RM250 serta senaskhah al-Quran terbitan Karya Bestari.

Pengerusi Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, program kali ini merupakan kesinambungan kepada Iftar Ala Madinah @Karangkraf yang direhatkan sementara pada tahun ini.

 Firdaus
Firdaus

“Sebelum ini, setiap tahun Karangkraf menganjurkan Iftar Ala Madinah @Karangkraf dengan memberi makanan berbuka puasa secara percuma tapi tahun ini kita tidak buat.

“Jadi, kita melihat perlunya untuk Karangkraf keluar berjumpa komuniti, maka terhasil program seperti hari ini. Jadi, kita harap dengan adanya sumbangan ini mampu meringankan beban umat Islam dalam menyambut Ramadan.

“Selain kita memberikan sumbangan berbentuk makanan dan keperluan asas. Kali ini juga kita turut menyumbang satu al-Quran kepada setiap penerima dengan harapan ia dapat dimanfaatkan oleh semua ahli keluarga untuk baca, faham dan amal dengan al-Quran, lebih-lebih lagi di bulan mulia ini,” katanya ketika ditemui selepas selesai menyampaikan sumbangan kepada penerima.

Artikel Berkaitan:

Firdaus (tiga dari kanan) bersama Nik Justin (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan al-Quran dan produk Nestle kepada penduduk di Pangsapuri Teratai Taman Bukit Subang, Shah Alam pada Khamis.
Firdaus (tiga dari kanan) bersama Nik Justin (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan al-Quran dan produk Nestle kepada penduduk di Pangsapuri Teratai Taman Bukit Subang, Shah Alam pada Khamis.

Firdaus dalam masa sama berharap agar lebih banyak program bersifat komuniti dapat dilaksanakan pada masa akan datang, di samping turut mengalu-alukan sumbangan daripada semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) atau korporat untuk menjayakan program kemasyarakatan tersebut.

Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat dan Perhubungan Strategik Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, program komuniti yang diadakan tahun ini mempunyai keistimewaan tersendiri.

Nik Justin
Nik Justin

“Tahun ini kita teruskan program menyantuni komuniti dengan satu lagi kelainan apabila setiap keluarga terpilih menerima naskah al-Quran. Jadi, kita boleh kata program tahun ini seimbang antara jasmani dan rohani.

“Selain dapat meringankan beban penerima untuk berbuka puasa dan moreh, bantuan kali ini juga memberi pengertian yang tersendiri. Kita harap bulan Ramadan ini setiap penerima dapat manfaatkan bulan Ramadan dengan baca dan dalami lagi al-Quran.

“Melalui bacaan ayat-ayat suci al-Quran ini diharap memberi lebih ketenangan untuk mereka menghadapi cabaran dan dugaan hidup,” katanya.

Ditanya mengenai pemilihan peserta untuk menerima bantuan berkenaan, beliau berkata, ia dibuat dengan kerjasama pihak masjid dan kawasan rukun tetangga (KRT) terlibat.

Dalam pada itu, wakil penduduk Pangsapuri Teratai, Ahmad Faudzi Mohd Nazam menzahirkan ucapan terima kasih kepada Karangkraf kerana memilih peserta di komuniti berkenaan untuk menerima sumbangan penuh bermakna itu.

 Ahmad Faudzi
Ahmad Faudzi

Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Prihatin Interaktif Solidarity Malaysia (Prisma) berkata, sumbangan tersebut memberi makna cukup besar kepada 100 keluarga penerima kerana asas pemilihan mereka dibuat berdasarkan taraf sosial dan ekonomi mereka.

“Saya bagi pihak komuniti Pangsapuri Teratai ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan tertinggi daripada kami semua atas sumbangan 100 kotak makanan dan al-Quran.

“Alhamdulillah, kita rasa kelainan ini memberi kesan kepada penduduk iaitu sumbangan barangan keperluan asas diiringi dengan al-Quran,” katanya.

Beliau menambah, pemilihan 100 penerima dibuat dengan tapisan ketat bagi memastikan keluarga yang benar-benar layak menerimanya.

Katanya, secara keseluruhan terdapat 600 keluarga menetap di pangsapuri yang menempatkan 10 blok bangunan tersebut.

Program Karangkraf Ramadan Food Drive 2026 di Lembah Klang yang membuka tirai pada Khamis akan diteruskan melibatkan empat lagi komuniti sepanjang Ramadan ini iaitu Pangsapuri Lembah Subang, Petaling Jaya, Masjid Bandar Bukit Raja, Klang, RPSS Seri Purnama, Shah Alam dan Pangsapuri Melati, Shah Alam sehingga 4 Mac ini.

Bagi Pantai Timur pula, program dijadual berlangsung pada 6 hingga 8 Mac di Kota Bharu, Kelantan, Kuantan, Pahang dan Kuala Terengganu, Terengganu.

Program Karangkraf Ramadan Food Drive 2026 yang dilaksanakan pada minggu kedua dan ketiga Ramadan itu menyasarkan 1,000 keluarga di Lembah Klang dan Pantai Timur dengan agihan 1,000 set barangan keperluan asas

Ringkasan AI

  • Seramai 100 keluarga di Pangsapuri Teratai menjadi penerima pertama Program Karangkraf Ramadan Food Drive 2026
  • Program ini adalah kerjasama antara Karangkraf dan Nestle Malaysia, dilengkapi dengan kempen 1 Rumah 1 Al-Quran Karya Bestari
  • Setiap keluarga penerima menerima barangan asas dan satu senaskhah al-Quran bernilai RM250
  • Pengerusi Karangkraf, Firdaus Hussamuddin, menyatakan program ini sebagai pengganti program Iftar Ala Madinah @Karangkraf yang direhatkan
  • Program ini bertujuan meringankan beban umat Islam menyambut Ramadan dan menggalakkan pengertian dan amalan isi kandungan al-Quran

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!