DBKL gempur tapak bina kotor, bahaya di Wangsa Maju

KUALA LUMPUR – Dua tapak bina di sekitar Parlimen Wangsa Maju dikenakan tindakan apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan operasi bersepadu bersama beberapa agensi penguat kuasa bagi memastikan pematuhan undang-undang serta aspek keselamatan dan kebersihan awam.
Operasi yang dijalankan pada Selasa itu melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
Menurut DBKL, hasil pemeriksaan mendapati pelbagai pelanggaran undang-undang dilakukan oleh pihak kontraktor di kedua-dua lokasi terbabit, termasuk isu pengurusan sisa pembinaan, persekitaran kerja yang tidak selamat, serta potensi pembiakan serangga pembawa penyakit.
“Sebanyak enam notis tawaran kompaun telah dikeluarkan kepada kontraktor yang bertanggungjawab, mengikut peruntukan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dan Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994,” ujar DBKL menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya pada Rabu.
Menurut kenyataan itu, operasi seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai sebahagian daripada komitmen pihak berkuasa untuk menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar berdaya huni, selamat dan bersih untuk semua.
“DBKL tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mengabaikan tanggungjawab mereka dalam menjaga keselamatan tapak bina dan kebajikan komuniti sekeliling,” menurut kenyataan itu lagi.
Tindakan ini sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani dan kempen #KLBandarUntukSemua, yang menegaskan iltizam pihak berkuasa dalam membentuk Kuala Lumpur sebagai bandar raya yang bukan sahaja maju, tetapi juga penuh rasa tanggungjawab sosial.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!