Mesej perkauman: Menteri gesa penghantar makanan dikenakan tindakan

SHAH ALAM- Tindakan undang-undang wajar dikenakan terhadap seorang penghantar makanan yang didakwa menghantar mesej berbaur penghinaan dan bersifat perkauman kepada seorang guru dalam kejadian pada Ahad lalu.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, perbuatan berkenaan amat mengecewakan dan pihak kementerian memandang serius mengenainya.
"Kejadian ini bukan sahaja mencemar nilai kesopanan dan kesusilaan masyarakat kita, malah menggugat keharmonian antara kaum.
"Tindakan seperti ini tidak boleh diterima sama sekali dan wajar dikenakan tindakan undang-undang," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Media sebelum ini melaporkan, guru berusia 27 tahun itu mendakwa terkejut dan terganggu selepas menerima mesej berkenaan melalui ciri sembang dalaman aplikasi penghantaran.
Katanya, menerima mesej tersebut pada jam 4.40 petang, selepas menghantar pesanan mesej kepada penghantar berkenaan untuk bertanya mengenai status tempahannya.
Dalam pada itu, Aaron berkata, pihak syarikat penghantaran digesa untuk mengambil tindakan disiplin tegas terhadap individu yang terlibat serta memperketat garis panduan tatakelakuan pekerja mereka.
"Kementerian juga ingin menyeru semua rakyat Malaysia agar sentiasa memupuk sikap saling menghormati dan memahami antara satu sama lain.
Tidak ada tempat dalam negara ini untuk sebarang bentuk diskriminasi, kebencian atau perkauman.
"Saya percaya bahawa insiden ini adalah tindakan individu dan bukan gambaran masyarakat secara keseluruhan. Namun, kita semua bertanggungjawab untuk membina negara yang lebih inklusif, aman dan bersatu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!