‘Magic mushroom’ bawa penghisap vape delusi ke alam lain

KOTA BHARU – Cecair vape mengandungi bahan psikoaktif seperti ‘magic mushroom’ kini menjadi ancaman senyap dalam kalangan anak muda apabila bahan tersebut tanpa sedar dihidu dan boleh merosakkan minda serta mencetuskan halusinasi berbahaya.
Timbalan Pengerusi Pengasih Kelantan, Azhar Abdul Rahman berkata, penggunaan ‘magic mushroom’ membimbangkan kerana sukar dikesan dan dikawal berbanding dadah sintetik lain.
“Penagih akan mengalami halusinasi teruk sehingga terpisah daripada realiti.
"Mereka boleh melakukan perkara berbahaya tanpa sedar termasuk mencederakan diri sendiri atau membunuh diri,” katanya kepada Sinar Harian.
Azhar yang juga pengusaha Rehab Lindungan Kasih Pengasih Kelantan berkata, daripada 38 penghuni pusat pemulihan terdapat dua anak muda berusia dalam lingkungan 20-an yang dikesan menggunakan ‘magic mushroom’ melalui vape.
Salah seorang daripadanya telah pulih selepas menyedari kesan buruk dialami dan segera mendapatkan rawatan pemulihan.
Menurut beliau, remaja dan anak muda sering tidak menyedari bahawa mereka sedang menggunakan dadah, memandangkan cecair vape yang dicampur ekstrak ‘magic mushroom’ tidak menunjukkan tanda jelas pada awalnya.
“Kami dapati ada kes di mana remaja mendapat bekalan ‘magic mushroom’ daripada rakan-rakan tanpa menyedari ia adalah bahan terlarang.
"Ada juga yang mencuba kerana terpengaruh dengan trend di media sosial,” katanya.
Seorang penghuni yang sudah pulih pernah berkongsi pengalaman bahawa dia hanya menyedari kandungan vape yang digunakan mencurigakan selepas mengalami gangguan penglihatan, kecemasan melampau dan kehilangan kawalan diri.
Azhar berkata, lebih membimbangkan apabila penggunaan berulang bahan ini boleh menyebabkan gangguan mental jangka panjang termasuk psikosis.
Beliau menasihati ibu bapa agar lebih peka terhadap perubahan tingkah laku anak-anak, termasuk tanda-tanda seperti kerap termenung, bercakap sendirian atau
mengalami perubahan emosi secara mendadak.
Katanya, kesedaran masyarakat masih rendah terhadap bahaya ‘magic mushroom’ kerana ia sering disalahanggap sebagai lebih selamat berbanding dadah lain.
“Hakikatnya, bahan ini boleh menyebabkan kecelaruan mental yang memerlukan rawatan jangka panjang.
"Kami di Pengasih terus berusaha membantu mereka yang terjebak untuk kembali pulih, tetapi pencegahan awal adalah langkah terbaik,” tambahnya.
Media sebelum ini melaporkan bahawa sindiket pengedaran bahan terlarang semakin berani menjual cecair vape mengandungi ‘magic mushroom’ melalui platform media sosial.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!