Tujuh jenazah anggota FRU selesai disolatkan di surau IPD Hilir Perak

TELUK INTAN – [DIKEMAS KINI] Tujuh jenazah anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam nahas di Jalan Chikus–Sungai Lampam di sini, selesai disolatkan di Surau Ar-Rahman, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak pada Selasa malam.
Solat jenazah diimamkan oleh Ahmad Kamil Ibrahim dari Bahagian Agama dan Kaunseling, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.
Jenazah selesai disolatakn pada jam 12.50 tengah malam oleh lebih 500 jemaah terdiri daripada anggota polis dan ahli keluarga.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin.
Selesai solat, satu majlis tahlil ringkas turut diadakan yang dipimpin oleh Ahmad Fathullah Rosli dari Bahagian Agama dan Kaunseling, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard IPK Perak.
Ketujuh-tujuh jenazah dibawa ke IPD Hilir Perak menaiki van sejurus selesai proses bedah siasat di Hospital Teluk Intan yang bermula jam 2.30 petang.
Pengurusan jenazah, termasuk proses mandi dan kafan, turut dilaksanakan di hospital yang sama.
Tiga jenazah pertama yang tiba di Surau Ar-Rahman pada jam 10.28 malam ialah Koperal Mohd Pozli Jaudin, 41; Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38; dan Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28.
Empat lagi jenazah iaitu Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim, 46; Koperal Amiruddin Zabri, 38; Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35; dan Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33, tiba satu jam kemudian pada jam 11.28 malam.
Ketujuh-tujuh jenazah anggota FRU ini, bersama dua lagi mangsa korban iaitu Sarjan S Perumal, 44, dan Koperal Nurit Pandak, 34, kemudiannya dibawa ke Markas Pasukan Simpanan Persekutuan Unit 5, Sungai Senam, Ipoh bagi istiadat penghormatan terakhir.
Kesemua van yang membawa sembilan jasad wira negara berkenaan beredar dari IPD Hilir Perak sekitar jam 1 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!