'Saya reda, dia ‘pergi’ ketika bertugas' – Ibu anggota FRU

Suriati (kanan) ibu kepada Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, salah seorang daripada sembilan anggota FRU yang terkorban pada Selasa, reda dengan pemergian anak sulungnya. - Foto Awani
Suriati (kanan) ibu kepada Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, salah seorang daripada sembilan anggota FRU yang terkorban pada Selasa, reda dengan pemergian anak sulungnya. - Foto Awani
A
A
A

TELUK INTAN - “Saya reda, yang hidup pasti akan mati. Lagi pun dia sampai ajal ketika bertugas.”

Demikian luahan Suriati Omar, ibu kepada Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, salah seorang daripada sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban pada Selasa.

Nahas berlaku selepas kenderaan dinaiki kesemua 18 anggota FRU itu dirempuh lori membawa muatan batu kerikil di Jalan Sungai Manik–Sungai Lampam.

Menurut Suriati, arwah merupakan anak sulung daripada tiga beradik dan satu-satunya anak lelaki dalam keluarga.

“Dua lagi adik dia perempuan, memang sebak tapi apakan daya. Dia ada hubungi saya pagi itu, beritahu dalam perjalanan mahu balik selepas bertugas.

“Ahad lepas dia sempat balik rumah dan tolong bersihkan rumah, mesin rumput,” katanya sebak ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Teluk Intan, di sini, pada Selasa.

Sementara itu, isteri kepada arwah Koperal Nurit Pandak turut merasai kehilangan yang cukup perit apabila terpaksa menerima takdir pemergian suami dan anak dalam tempoh kurang dua tahun.

Jowissemborisxs Bah Johan, 36, berkata, arwah suaminya telah 10 tahun berkhidmat sebagai anggota polis dan amat berdedikasi dalam tugas.

Artikel Berkaitan:

“Kami sudah empat tahun berkahwin. Tahun lepas, anak perempuan kami meninggal dunia akibat masalah jantung. Sekarang, suami pula pergi tinggalkan saya dan keluarga.

“Siapa tidak sedih bila kehilangan anak, tapi dia kuat. Sekarang saya pula yang kena kuat,” katanya sayu.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kejadian berlaku ketika tujuh konvoi kenderaan FRU dalam perjalanan pulang ke Ipoh setelah selesai penugasan perayaan Chitra Pournami di daerah Hilir Perak.

Bagaimanapun, katanya, kenderaan membawa 18 anggota yang berada pada kedudukan kelima konvoi itu telah dirempuh sebuah lori. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!