Belum reda kehilangan cucu, anak pula pergi – Bapa anggota FRU maut

Identiti sembilan anggota FRU yang terkorban dalam nahas jalan raya di KM15, Jalan Sungai Manik pada Selasa telah dikenal pasti.
Identiti sembilan anggota FRU yang terkorban dalam nahas jalan raya di KM15, Jalan Sungai Manik pada Selasa telah dikenal pasti.
A
A
A

TELUK INTAN – [DIKEMAS KINI] Belum pun hilang rasa sedih kehilangan cucu, kini anak pula menyusul pergi.

Itulah yang dirasai oleh Pandak Rompan, 71, bapa kepada salah seorang anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang maut dalam kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam pagi tadi.

Pandak berkata, anak ketiganya, Nurit, 34, yang juga anggota FRU telah berkhidmat dengan pasukan itu selama 15 tahun.

“Dia dulu bertugas di FRU Cheras sebelum ditukarkan ke Sungai Senam, Ipoh. Memang dia berulang-alik dari Kampar ke tempat kerja. Biasanya kalau hari cuti, dia balik rumah.

“Memang saya tahu dia bertugas di Teluk Intan semalam (Isnin), tapi tak sangka pagi tadi dapat tahu dia sudah meninggal dunia,” katanya.

Menurut pesara polis itu, kali terakhir dia bertemu dengan anaknya ialah dua minggu lalu di rumah mereka di Kampar.

“Mendiang seorang yang baik, tak banyak cakap dan sangat mesra dengan semua orang.

“Tak pernah ada masalah dengan saya, emak dia atau adik-beradik lain,” ujarnya.

Tambahnya lagi, Nurit sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak, namun cucunya itu meninggal dunia lima bulan lalu akibat komplikasi jantung selepas lebih setahun berada dalam keadaan kritikal.

Artikel Berkaitan:

“Kami baru kehilangan cucu, kini anak pula pergi. Memang terkejut dengan pemergian anak saya ini, tapi kami reda,” katanya dengan nada sebak.

Sementara itu, adik kepada mangsa lain, S Ahrentheren, 41, turut berkongsi detik terakhir bersama abangnya, S Perumal, 44, sebelum kejadian.

Menurutnya, ketika dimaklumkan mengenai tragedi itu, dia sedang bercuti dan membawa anak-anak keluar membeli kuih serta menghantar makanan ke rumah anak yatim.

“Saya terima panggilan kira-kira jam 9.45 pagi. Saya terus tinggalkan anak-anak di rumah kawan dan bergegas ke sini,” katanya.

Tambah Ahrentheren, kali terakhir dia bertemu abangnya ialah pada Sabtu lalu ketika menyerahkan makanan kegemaran mendiang.

“Kali terakhir kami berjumpa pada Sabtu lepas. Dia minta saya belikan kuetiau goreng.

“Saya hantar, bagi dia bawa balik. Lepas itu, kami tak jumpa dah... hari ini dia dah tak ada,” katanya.

Jenazah semua mangsa akan diberikan istiadat penghormatan terakhir di Markas Pasukan Simpanan Persekutuan Unit 5, Sungai Senam, Ipoh sebelum dibawa pulang ke kampung masing-masing selepas selesai proses bedah siasat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!