Kes HFMD meningkat di Johor, melepasi paras amaran - Exco

JOHOR BAHRU – Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Johor menunjukkan peningkatan ketara sejak awal tahun, dengan jumlah kumulatif mencecah 13,415 kes hingga minggu epid (ME) ke-19.
Menurut Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon, jumlah berkenaan dilihat lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya dan telah melepasi paras amaran sejak awal tahun lagi.
"Setakat ME 19/2025, sebanyak 1,964 kes telah direkodkan dan ia meningkat sebanyak 16.4 peratus berbanding 1,687 kes pada minggu sebelumnya.
"Secara majoritinya kes melibatkan kanak-kanak berumur 0 hingga 6 tahun iaitu 80.3 peratus daripada keseluruhan kes," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tian Soon turut memaklumkan bahawa sebanyak 86 kluster telah direkodkan di seluruh negeri melibatkan pelbagai premis termasuk 30 tabika, 21 pra-sekolah, 18 taska, 15 tadika, satu sekolah rendah dan satu rumah persendirian.
Untuk rekod, setakat ini seramai 449 individu telah dijangkiti daripada lebih 3,500 yang dilihat terdedah kepada virus berkenaan.
Susulan peningkatan mendadak itu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) telah mengeluarkan dua notis amaran kepada semua Pejabat Kesihatan Daerah, hospital kerajaan serta agensi pendidikan berkaitan pada 11 Mac lalu.
Sementara itu, Tian Soon berkata, tujuan utama notis amaran itu dibuat adalah bagi mempertingkatkan kesiapsiagaan dan keprihatinan semua pihak termasuk pengusaha dan guru institusi pendidikan awal kanak-kanak serta pengusaha taman permainan terhadap peningkatan HFMD ini.
Malah katanya, semua pihak khususnya kesemua institusi berkaitan memperketatkan lagi langkah kebersihan dan kawalan infeksi termasuk amalan mencuci tangan, etika batuk dan bersin yang betul, serta tidak berkongsi barangan peribadi.
"Selain itu, langkah-langkah seperti saringan di pintu masuk sekolah, pengasingan pelajar bergejala dan laporan segera kepada pejabat kesihatan turut ditekankan bagi membendung penularan wabak ini.
"Kita juga difahamkan, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mengambil langkah proaktif dengan mengaktifkan ciri pengesan penyakit berjangkit di MySejahtera bagi membantu masyarakat mengenal pasti kawasan berisiko HFMD serta beberapa penyakit berjangkit lain.
"Selain itu, orang ramai juga digesa untuk sentiasa peka terhadap maklumat kesihatan awam serta mengamalkan gaya hidup bersih dan sihat, terutama mereka yang mempunyai anak kecil," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!