Ketua Cabang PKR Johor Bahru bidas tuduhan Rafizi, tuntut permohonan maaf

Mohamad Taufiq
Mohamad Taufiq
A
A
A

JOHOR BAHRU – Ketua Cabang PKR Johor Bahru, Mohamad Taufiq Ismail membidas kenyataan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli yang didakwanya melemparkan tuduhan tidak berasas dan bersifat peribadi terhadap beliau menerusi podcast ‘Yang Bakar Menteri’.

Taufiq yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab, tidak disokong dengan fakta serta mencetuskan persepsi negatif terhadap kepimpinannya yang baru dipilih secara sah untuk penggal 2025–2028.

“Adalah sangat dikesali apabila seorang pemimpin kanan seperti YB Rafizi memilih untuk membuat kenyataan peribadi yang tidak berlandaskan fakta dan seolah-olah mahu meremehkan sumbangan saya sebagai Ketua Cabang Johor Bahru,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Antara kenyataan Rafizi yang dipertikaikan termasuk melabel Taufiq sebagai 'budak yang kita tak pernah kenal' serta mempersoalkan kelayakan beliau kerana dikatakan tidak mempunyai pekerjaan tetap dan rekod dalam parti.

Menjawab tuduhan itu, Taufiq menjelaskan beliau telah lama bergiat aktif dalam parti dan pernah memegang pelbagai jawatan termasuk Ketua AMK Negeri Johor, Ketua AMK Cabang Johor Bahru serta Setiausaha Cabang.

“Saya bekerja tetap sebagai mekanik automotif di syarikat milik keluarga dan selama ini banyak menyumbang kepada parti menerusi gerak kerja akar umbi serta dana peribadi.

“Parti ini bukan untuk golongan elit sahaja, tetapi untuk semua rakyat yang mahu berjuang,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Taufiq turut menyangkal dakwaan bahawa semua ‘team’ Akmal Nasir memenangi pemilihan baru-baru ini, sebaliknya menjelaskan bahawa pasukannya sendiri memenangi majoriti jawatan utama Cabang Johor Bahru termasuk Ketua, Timbalan, Naib dan lima Ahli Jawatankuasa Cabang.

Artikel Berkaitan:

“Proses audit dan kiraan semula telah dilaksanakan di Ibu Pejabat parti pada 2 Mei lalu dengan kehadiran pihak JPP dan auditor bebas dari China. Namun, Akmal Nasir memilih untuk keluar dari mesyuarat sebelum proses selesai,” katanya.

Taufiq menggesa agar Rafizi menarik balik kenyataan tersebut dan membuat permohonan maaf secara terbuka bagi menjaga keharmonian dan perpaduan dalam parti menjelang cabaran politik mendatang.

“Politik peribadi dan elitisme tidak boleh dibiarkan memadamkan semangat anak muda yang ikhlas berjuang untuk parti dan negara,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!