Tragedi MH17: Ahmad Fadhli gesa PM tuntut permohonan maaf rasmi daripada Rusia

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perlu menuntut agar Rusia mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada kerajaan dan rakyat Malaysia berhubung insiden tembakan ke atas pesawat Malaysia Airlines MH17.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Perdana Menteri boleh mengemukakan tuntutan rasmi tersebut kepada Rusia semasa lawatan rasminya ke negara itu selama tiga hari bermula Selasa.
"Saya menggesa agar Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan secara rasmi tuntutan Malaysia terhadap kerajaan Rusia untuk memberikan komitmen terhadap proses pampasan yang adil kepada keluarga mangsa tragedi.
"Selain itu, beliau juga perlu menyokong usaha menegakkan keadilan melalui badan antarabangsa seperti Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) tanpa campur tangan politik," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Pada hari yang sama, ICAO memutuskan bahawa Rusia bertanggungjawab terhadap insiden tembakan ke atas pesawat MH17 yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal, termasuk 43 warga Malaysia pada tahun 2014.
Fadhli berpandangan bahawa lawatan rasmi itu tidak boleh dijadikan sekadar platform ekonomi dan pelaburan, sebaliknya perlu menjadi medan bermaruah untuk memperjuangkan hak rakyat Malaysia yang terkorban secara tragik dan tidak bersalah.
"Malaysia mesti menunjukkan prinsip tegas dan konsisten. Jika Perdana Menteri boleh bersuara lantang dalam isu antarabangsa lain seperti Palestin dan Gaza, maka keadilan untuk 43 warga Malaysia dalam tragedi MH17 juga tidak boleh diketepikan," ujar beliau lagi.
Beliau berkata, rakyat tidak mahu melihat Perdana Menteri tunduk kepada diplomasi sehala, sebaliknya perlu mengamalkan diplomasi yang bermaruah dengan berani menyatakan kebenaran walaupun di hadapan kuasa besar.
"Keadilan untuk MH17 adalah amanah negara. Jangan biarkan ia lenyap demi sekeping foto bersama pemimpin Kremlin," tegas Fadhli.
Beliau turut menyifatkan lawatan rasmi ke Rusia dari 13 hingga 16 Mei — termasuk kunjungan ke Moscow dan penyertaan dalam Forum Ekonomi Antarabangsa “Russia-Islamic World: KazanForum” di Kazan, Republik Tatarstan — sebagai lawatan yang pastinya mengundang perhatian besar.
Jelas beliau, lawatan itu bermula pada hari yang sama ICAO membuat keputusan penting bahawa Rusia bertanggungjawab terhadap insiden penembakan pesawat MH17 di ruang udara Ukraine pada Julai 2014.
Menurutnya, lawatan ini berlaku dalam suasana yang amat sensitif dan berisiko menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya waris mangsa tragedi MH17.
"Kerajaan Belanda dan Australia turut menyatakan bahawa bentuk pampasan terhadap tragedi ini akan dibincangkan ICAO dalam masa terdekat," katanya.
Justeru, beliau menegaskan bahawa menjadi kewajipan moral dan politik buat Perdana Menteri Malaysia untuk tidak berdiam diri ketika berada di bumi Rusia.
Tegasnya lagi, lawatan diplomatik tidak seharusnya mengabaikan luka sejarah yang belum sembuh, khususnya kesedihan yang masih dirasai oleh keluarga mangsa MH17 dan kesan terhadap imej serta kedaulatan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!