ICAO putuskan Rusia tembak jatuh pesawat MH17

ICAO putuskan Rusia bertanggungjawab terhadap insiden tembakan ke atas pesawat Malaysia Airlines MH17 yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal pada tahun 2014.
ICAO putuskan Rusia bertanggungjawab terhadap insiden tembakan ke atas pesawat Malaysia Airlines MH17 yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal pada tahun 2014.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) memutuskan bahawa Rusia bertanggungjawab terhadap insiden tembakan ke atas pesawat Malaysia Airlines MH17 yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal pada tahun 2014.

Antara mangsa tragedi itu termasuk 196 warganegara Belanda serta 38 warga dan penduduk Australia.

Keputusan tersebut diumumkan menerusi kenyataan berasingan oleh kerajaan Belanda dan Australia pada Isnin, yang menyifatkannya sebagai langkah penting ke arah menegakkan keadilan dan pertanggungjawaban terhadap mangsa serta keluarga mereka.

Pesawat MH17 berlepas dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014, sebelum ditembak jatuh di ruang udara timur Ukraine ketika konflik antara puak pemisah pro-Rusia dan tentera Ukraine sedang memuncak.

Pada November 2022, sebuah mahkamah di Belanda telah menjatuhkan hukuman bersalah terhadap dua rakyat Rusia dan seorang warga Ukraine atas kesalahan membunuh, meskipun kesemua tertuduh tidak hadir semasa perbicaraan.

Rusia pada waktu itu menyifatkan keputusan mahkamah tersebut sebagai “memalukan” dan enggan mengekstradisi warganegaranya.

Menurut Menteri Luar Belanda, Caspar Veldkamp, keputusan ICAO itu memberikan mesej tegas bahawa mana-mana negara tidak boleh melanggar undang-undang antarabangsa tanpa dikenakan tindakan sewajarnya.

“Keputusan ini merupakan satu langkah penting dalam usaha mencari kebenaran dan menuntut keadilan bagi semua mangsa MH17 serta ahli keluarga mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, Belanda dan Australia akan terus mendesak Majlis ICAO agar mengarahkan Rusia memulakan rundingan berkaitan pembayaran pampasan.

Menteri Luar Australia, Penny Wong, turut mengalu-alukan keputusan tersebut sambil menggesa ICAO mempercepatkan proses menentukan bentuk ganti rugi yang sewajarnya.

“Kami menyeru Rusia supaya bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakan keganasan yang dahsyat ini dan memenuhi kewajipan antarabangsa untuk membayar pampasan,” tegas beliau.

Pertubuhan ICAO yang beribu pejabat di Montreal, Kanada, tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan undang-undang, namun memainkan peranan penting dalam menetapkan piawaian penerbangan global yang diterima pakai oleh majoriti 193 negara anggotanya.

Kes terhadap Rusia dibawa ke ICAO pada tahun 2022 oleh kerajaan Belanda dan Australia, yang sejak awal konsisten menuntut keadilan dalam tragedi MH17. - Agensi/Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!