TNB perkenal arang batu campuran di stesen janakuasa di Perak

TNB
TNB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperkenalkan arang batu campuran di stesen janakuasanya di Lumut, Perak, sebagai sebahagian usaha berterusan untuk memastikan bekalan arang batu mampan bagi penjanaan elektrik.

Pengenalan arang batu campuran di Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah, yang menjana 20 peratus sumber elektrik bagi Semenanjung Malaysia, akan membantu mengukuhkan kelestarian pembekalan arang batu di masa depan, kata syarikat itu.

Ia juga selaras dengan trend semasa dalam kalangan sektor utiliti yang menggunakan arang batu campuran untuk memastikan bekalan bahan bakar itu dapat memenuhi keperluan penjanaan tenaga elektrik, kata TNB.

Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah, dengan kapasiti pengeluaran 4,100 megawatt (MW), menggunakan 15 juta tan arang batu sub-bituminous setahun.

Stesen janakuasa itu menerima penghantaran pertama arang batu campuran itu pada 31 Dis, 2018, di Lekir Bulk Terminal (LBT) yang berhampiran, milik Integrax Berhad, anak syarikat milik penuh TNB.

Arang batu itu diimport daripada Indonesia oleh sebuah lagi anak syarikat milik penuh, TNB Fuel Services Sdn Bhd,yang membekalkan bahan api dan arang batu bagi stesen-stesen janakuasa dalam negara.

TNB Janamanjung Sdn Bhd, operator Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah juga melaksanakan kajian pembakaran dan analisis makmal untuk memastikan arang batu campuran itu memenuhi piawaian pengeluaran asap ditetapkan sebelum sumber itu digunakan.- Bernama

Artikel Berkaitan: