TNB perkenal pakej solar atas bumbung, jimat elektrik

 Baharin Din
Baharin Din
A
A
A

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, GSPARX Sdn Bhd memperkenalkan pakej solar atas bumbung eksklusif kepada orang ramai yang mahukan penjimatan jangka panjang bagi bil elektrik mereka.

Presidennya, Datuk Baharin Din berkata, 150 pelanggan terawal yang melanggan pakej berkenaan dapat menikmati pemasangan solar photovoltaic (PV) dengan penjimatan sehingga RM4,999 bermula hari ini hingga 31 Julai.

"Tawaran pemasangan solar mampu milik ini termasuk dengan pakej khas pelanggan terawal yang membolehkan pengguna mencapai penjimatan kos yang ketara di samping menggalakkan amalan penggunaan tenaga lestari.

“Tambahan pula, ini menunjukkan komitmen yang kuat daripada TNB untuk memperkuat inisiatif Net Energy Metering (NEM) 3.0 kerajaan.

“Semua pakej baharu ini merangkumi penyelenggaraan percuma sistem solar untuk dua tahun dan insurans solar percuma selama setahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Baharin menambah, pihaknya turut bekerjasama dengan institusi kewangan di negara ini bagi menawarkan pembiayaan kepada orang ramai yang berminat.

Jelasnya, pembiayaan berkenaan termasuk pelan ansuran 36 bulan tanpa faedah melalui kad kredit atau pinjaman kewangan dengan tempoh pembayaran balik sehingga 10 tahun.

“Melalui pilihan pembiayaan ini, GSPARX memudahkan pelanggan berubah menjadi prosumer untuk serentak menikmati manfaat ekonomi sambil mengawal penggunaan tenaga mereka sendiri.

“Dengan memainkan peranan sebagai prosumer, pelanggan dapat mengambil langkah proaktif untuk menangani kesan daripada sebarang kenaikan kos elektrik masing-masing,” kata beliau.