ChatGPT bantu tugasan, siapa sebenarnya yang belajar?

Pengakuan terbuka oleh pelajar IPT di media sosial yang dia boleh siapkan tugasan pensyarah sambil pejam mata, asalkan ada ChatGPT.
Pengakuan terbuka oleh pelajar IPT di media sosial yang dia boleh siapkan tugasan pensyarah sambil pejam mata, asalkan ada ChatGPT.
A
A
A

MERAK Jalanan masih ingat zaman belajar di universiti menyiapkan tugasan bukan sahaja mencabar, malah kadang-kadang terasa seperti satu peperangan emosi dengan masa, idea dan keletihan.

Zaman itu, Google pun belum ‘mesra pengguna’ apatah lagi kecerdasan buatan (AI) seperti ChatGPT.

Baru-baru ini, Merak Jalanan terlihat satu pengakuan terbuka oleh pelajar IPT di media sosial yang dia boleh siapkan tugasan pensyarah sambil pejam mata, asalkan ada ChatGPT.

Merak Jalanan terfikir, mudah benar belajar zaman sekarang. Tetapi benarkah itu belajar?

Menariknya, ada pula warganet yang menyokong cara itu kononnya bijak memanfaatkan teknologi. Tidak kurang juga yang mengecam, menyifatkan ia sebagai satu bentuk menipu dan membunuh nilai integriti akademik.

Merak Jalanan tidak mahu cepat menghukum. Memang tidak salah guna teknologi. ChatGPT boleh bantu buat draf, beri idea atau jelaskan konsep yang susah. Tetapi sekiranya semua diserah bulat-bulat, siapa yang betul-betul belajar? Yang pandai nanti pelajar atau AI?

Hari ini, pelajar minta tugasan disiapkan oleh mesin. Esok apabila kerja pula, adakah mereka juga akan bergantung harap pada teknologi untuk berfikir?

Tugasan universiti bukan sekadar untuk dapat markah, sebaliknya ia latihan untuk membentuk cara fikir, cara susun hujah dan cara seseorang menilai maklumat. Kalau itu pun diambil alih oleh mesin, apa lagi yang tinggal?

Artikel Berkaitan:

Merak Jalanan harap pensyarah pun bijak membaca gaya bahasa dan pemikiran pelajar masing-masing. Kalau tiba-tiba pelajar sederhana boleh tulis esei gaya profesor, mungkin sudah tiba masa untuk duduk berbincang empat mata.

Teknologi bukan musuh tetapi apabila digunakan tanpa sempadan, akhirnya manusia sendiri jadi malas berfikir.

Pesan Merak Jalanan, biarlah cemerlang itu datang daripada usaha sendiri, bukan hasil salinan ‘cerdik’ daripada mesin yang tidak kenal erti penat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!