Hidup melarat, tumpang stor, cetus idea Ustaz Wadi bina rumah asnaf

SUNGAI PETANI – Kehidupan melarat dan serba kekurangan yang dilalui sesetengah keluarga miskin tegar sehingga terpaksa menumpang di stor, mencetuskan idea untuk menyediakan rumah asnaf secara percuma.
Pengerusi Pertubuhan Khidmat Ummah (PKU), Mohamad Wadi Annuar Ayub berkata, kesedaran terhadap tanggungjawab sosial tercetus setelah menyaksikan sendiri kedaifan yang dialami, lantas membawa kepada inisiatif pembinaan rumah asnaf di Daerah Kuala Muda, Kedah.
Beliau yang juga penceramah bebas dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar berkata, terdapat keluarga yang terpaksa berhimpit dalam stor tanpa bilik air dan dapur, suatu keadaan menyayat hati serta mengundang ketidakselesaan terutama kepada anak-anak kecil.
“Terpaksa tumpang tandas orang, cuci beras untuk memasak di luar rumah sebab tiada dapur. Kehidupan apa itu?... Zaman kita moden tetapi masih ada keluarga yang hidup terdesak sebegitu.

“Sebelum ini saya hanya menyumbang barangan keperluan dapur setiap bulan, namun apabila bilangan miskin tegar terus meningkat... masih ramai hidup melarat dan tiada rumah. Maka, PKU ditubuhkan secara rasmi untuk membantu lebih ramai keluarga, termasuk membina enam unit rumah asnaf di sini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Perasmian Pejabat Urusan dan Rumah Asnaf PKU di Kampung Sungai Layar Hujung baru-baru ini.
Majlis perasmian disempurnakan Exco Luar Bandar, Kemiskinan dan Pembangunan Insan Kedah, Datuk Siti Ashah Ghazali, bersama Pengarah Wilayah Maybank Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, Mohammad Yusof Abdul Rahim.
Menurut Ustaz Wadi, pembinaan pejabat dan enam unit Rumah Asnaf PKU yang bermula dengan pembelian tanah pada 2022 sepenuhnya dibiayai hasil sumbangan orang ramai dengan kos mencecah RM3 juta.
“Pemilihan penerima dibuat melalui siasatan teliti dengan syarat utama iaitu ketua keluarga mesti bekerja, tidak terlibat dalam jenayah, berpendapatan rendah, mempunyai tanggungan ramai dan akan menetap sehingga berjaya keluar dari garis kemiskinan,” katanya.
Beliau menambah, PKU memiliki data lengkap asnaf dan turut mengambil kira pandangan badan bukan kerajaan (NGO) serta pihak berkaitan bagi mengelakkan pertindihan sumbangan.
Pada masa hadapan, PKU merancang membangunkan lebih banyak rumah asnaf dan bersedia bekerjasama dengan agensi serta badan korporat lain yang berminat.
Sementara itu, Siti Ashah merakamkan penghargaan atas inisiatif menyediakan enam unit rumah asnaf yang meringankan beban golongan terlibat dan memberi jaminan mempermudah urusan PKU berkaitan kerajaan negeri.
Salah seorang penerima, Nor Hidayawati Zainol, 42, berkata episod hidup berpindah-randah akibat tidak mampu membayar sewa dan pernah tinggal dalam kereta kini berakhir selepas diberikan peluang mendiami rumah tersebut.
Ibu tunggal kepada tiga anak berusia tujuh hingga 12 tahun itu turut menerima tajaan Maybank bagi kelengkapan perabot dan peralatan elektrik, menjadikan kediaman baharu mereka lebih selesa untuk pembelajaran dan aktiviti harian.
Menceritakan kisahnya, beliau berkata suami yang menjadi tulang belakang keluarga meninggal dunia ketika beliau sedang berpantang melahirkan anak bongsu tujuh tahun lalu.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 5520 5982 5987 atas nama Pertubuhan Khidmat Ummah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

