Boikot McDonald’s: Siapa sebenarnya rugi?

Dari kiri, Dr Ishak; Dr Muhammad Safwan; moderator, Prof Madya Dr Kamarulzaman Noordin; Dr Zalina dan Dr Norhidayah ketika Forum Boikot Dalam Perspektif Maqasid Al-Syariah: Mengimbangi Keperluan, Tanggungjawab dan Kesan di Universiti Malaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dari kiri, Dr Ishak; Dr Muhammad Safwan; moderator, Prof Madya Dr Kamarulzaman Noordin; Dr Zalina dan Dr Norhidayah ketika Forum Boikot Dalam Perspektif Maqasid Al-Syariah: Mengimbangi Keperluan, Tanggungjawab dan Kesan di Universiti Malaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.
A
A
A
BOIKOT terhadap syarikat yang dikaitkan dengan Israel menjadi gelombang besar di Malaysia, didorong oleh rasa tanggungjawab umat Islam dalam memperjuangkan nasib saudara seagama di Palestin.

Ramai memilih untuk menjauhkan diri daripada jenama tertentu termasuk restoran makanan segera yang sudah lama bertapak di negara ini.

Namun, dalam keghairahan menyuarakan sokongan, wajar juga kita meneliti kesan yang mungkin tidak disedari.

Dalam konteks Malaysia, McDonald’s diusahakan oleh syarikat milik Muslim dan menggaji ribuan pekerja tempatan.

Timbul persoalan, adakah tindakan itu benar-benar memberi kesan kepada pihak yang disasarkan atau tanpa sedar menjejaskan saudara seagama sendiri?

DR MUHAMMAD SAFWAN
DR MUHAMMAD SAFWAN



Pensyarah Kanan, Bahagian Fiqh & Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), Dr Muhammad Safwan Harun ketika mengulas tindakan boikot dari sudut pandang Maqasid Syariah menyatakan sikap itu memerlukan pertimbangan antara maslahah (kepentingan) dan mafsadah (keburukan).

Boikot secara teorinya menutup jalan yang harus bagi menghindari mafsadah (kerugian).

“Oleh sebab itu, perlu adanya fakta dan data yang tepat untuk memboikot. Bimbang ia bukan berdasarkan penilaian maklumat atau fakta, tetapi lebih berasaskan emosi dan kemarahan yang boleh merugikan umat Islam sendiri,” katanya.

Artikel Berkaitan:


Beliau berkata demikian ketika menjadi panel semasa Forum Boikot Dalam Perspektif Maqasid Al-Syariah: Mengimbangi Keperluan, Tanggungjawab dan Kesan yang diadakan di UM, Kuala Lumpur baru-baru ini.

DR NORHIDAYAH
DR NORHIDAYAH



Pensyarah Kanan, Bahagian Fiqh & Usul, Akademi Pengajian Islam UM, Dr Norhidayah Pauzi turut menegaskan terdapat beberapa fatwa yang boleh dijadikan rujukan.

Beliau menjelaskan, sebahagian besar ulama menetapkan hukum wajib memboikot barangan dan perkhidmatan Israel dan Amerika Syarikat (AS), bahkan membelinya dikategorikan sebagai haram dan berdosa.

“Walaubagaimanapun, terdapat juga beberapa pandangan ulama menyatakan bahawa tidak wajib memboikot barangan dan perkhidmatan Israel serta AS. Pandangan kedua itu merupakan fatwa Kerajaan Arab Saudi yang melarang tindakan boikot tersebut dan menganggapnya sebagai perbuatan ekstrem,” katanya.

Nilai semula tindakan boikot dengan ilmu

Jika diteliti, kebanyakan restoran syarikat francais makanan seperti McDonald’s Malaysia sangat menitiberatkan dan mengutamakan pensijilan halal dalam aktiviti perniagaan mereka, malah turut berusaha untuk memastikan produk yang toyyiban.

DR ZALINA
DR ZALINA



Menurut Pengarah Pusat Kajian Halal UM, Prof Madya Dr Zalina Zakaria, pematuhan syariah dan halal dalam sistem francais makanan di Malaysia sangat tinggi.

“Kadangkala kita merasa ragu ‘benarkah syarikat itu selamat dan berkualiti?’, tetapi tidak pula kita cakna ketika membeli makanan di tepi jalan atau di pasar raya.

“Sedangkan sijil halal yang diperoleh syarikat francais daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)disaring begitu ketat sehingga diiktiraf di peringkat luar negara,” katanya.

Gara-gara gerakan boikot yang tidak berasas terhadap McDonald’s Malaysia, kira-kira 10,000 pekerja tempatan terpaksa dikorbankan daripada 23,000 kakitangan pada awalnya.

“Melihat komitmen, cara syarikat bekerja dan tanggungjawab pensijilan halal yang mungkin tiada dalam syarikat lain, ia suatu yang menyedihkan.

“Dengan impak sijil halal itu, ia turut memberi kesan kepada pembekal tempatan memandangkan syarikat tersebut mengambil bahan mentah melalui usahawan dalam negara.

“Kita mempunyai pilihan masing-masing, yang penting bukan bersentimen, tetapi buat secara berilmu,” katanya.

Barangkali sudah sampai masanya umat Islam menilai semula sikap masingmasing dalam gerakan boikot terhadap McDonald’s Malaysia.

DR ISHAK
DR ISHAK



Saranan itu disuarakan oleh Ketua Bahagian Al-Quran & Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam UM, Prof Dr Ishak Suliaman sambil mengingatkan agar usaha itu dilakukan berasaskan fakta, bukannya dengan persepsi salah.

Andai diteliti satu per satu, jelas beliau, banyak fakta tentang McDonald’s Malaysia yang menunjukkan syarikat itu tiada bahagian untuk menindas rakyat Palestin.

Antara lain, rangkaian restoran itu dimiliki 100 peratus pemegang saham Muslim menerusi Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd di bawah Reza Group sejak 2017, selain dijamin halal oleh Jakim.

Malah, syarikat itu telah membayar RM12 juta zakat perniagaan sejak tahun 2017 dan membeli bekalan bahan mentah daripada syarikat tempatan melibatkan pembelian RM1.4 bilion yang menjana ekonomi Malaysia serta menggajikan 100 peratus anak tempatan yang majoritinya adalah Muslim.

“Bahkan, McDonald’s Malaysia juga sudah memberikan penjelasan tentang lima peratus royalti dibayar kepada McDonald’s Corporation yang mana tiada dana disumbangkan ke Israel. Ia hanya membabitkan hak penggunaan sistem perniagaan, teknologi, latihan dan penyelidikan.

“McDonald’s Corporation juga tidak membiayai atau terlibat dalam sebarang bentuk keganasan dan penindasan di mana-mana negara sekalipun,” katanya.

Hayati garis panduan boikot perniagaan

Impak daripada tindakan boikot menyebabkan lebih 10,000 anak tempatan hilang pekerjaan, penurunan hasil syarikat antara 45 hingga 80 peratus dan penurunan permintaan bekalan ayam.

PESERTA tidak melepaskan peluang untuk bertanyakan ahli panel ketika Forum Boikot Dalam Perspektif Maqasid Al-Syariah: Mengimbangi Keperluan, Tanggungjawab dan Kesan berlangsung.
PESERTA tidak melepaskan peluang untuk bertanyakan ahli panel ketika Forum Boikot Dalam Perspektif Maqasid Al-Syariah: Mengimbangi Keperluan, Tanggungjawab dan Kesan berlangsung.



Berdasarkan fakta itu, ujar Dr Ishak, kesan boikot membawa mudarat bukan sahaja terhadap syarikat tersebut, tetapi juga kepada sumber zakat RM12 juta bagi kelestarian umat Islam dan ekonomi negara.

Merujuk kepada garis panduan dalam memboikot perniagaan oleh Jabatan Mufti Negeri Pahang, hukum boikot boleh menjadi wajib, harus, makruh atau haram bergantung kepada kriteria tertentu.

Jika kita mempengaruhi pemboikotan tanpa asas kukuh dan bertujuan melumpuhkan perniagaan, haram hukumnya.

“Antara asas kriteria pemboikotan itu adalah untuk melemahkan musuh atau mengelak perlakuan maksiat. Jika restoran syarikat francais tersebut tidak memberi bantuan kepada musuh secara langsung, maka ia tidak seharusnya diboikot.

“Satu lagi sudut perlu dipertimbangkan adalah antara kepentingan dan keburukan. Jika umat Islam penerima terbesar manfaat, maka pemboikotan perlu dinilai semula,” katanya.

Justeru, umat Islam diseru untuk mentaksir semula usaha pemboikotan syarikat Muslim seperti McDonald’s Malaysia.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Bantulah saudaramu sama ada yang zalim atau dizalimi.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari).

“Telitilah semula siapakah pihak yang zalim dan dizalimi dalam gerakan boikot di Malaysia. Berapa lama Reza Group mampu bertahan sekiranya majoriti umat Islam terus memboikot?” soalnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!