Menjernihkan politik

A
A
A

DI kala bersimpang-siur ulasan dan komentar kemelut politik terkini memenuhi media perdana dan media sosial, rakyat sangat mengidamkan politik sejuk, damai dan beradab. Kemelut politik dikatakan berakhir apabila sudah menemui calon Perdana Menteri yang diperkenan istana.

Rakyat cuba mengikuti kemelut tersebut selama tujuh hari. Bermula Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan hingga Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik.

Memang melelahkan dan membingungkan namun debat politik terus panas. Itulah kali pertama kerajaan pintu belakang diwujudkan dan mengetepikan proses demokrasi pilihanraya.

Rakyat dikehendaki hanya menonton drama politik, satu episod demi satu episod, tanpa ada peluang untuk membuat intervensi. Undi rakyat tidak lagi diwakili oleh wakil rakyat mereka.

Wakil rakyat bertindak atas arahan parti dan atas kepentingan diri. Yang berlaku persis bermain catur. Rakyat hanya perlu akur keputusan mereka yang bercatur dalam politik.

Jika ditanya ahli politik kenapa fiil politik itu yang ditampilkan, ada sahaja alasan dan dalil mereka. Mereka menganggap diri mereka lebih tahu dan serba tahu.

Dalil diketengahkan dengan pelbagai rujukan. Kini yang dilihat oleh rakyat hanyalah dalil permainan politik semata-mata.

Di tengah-tengah kemelut itu, nasib dan hak rakyat diketepikan. Pertarungan politik didahulukan. Nasib orang kampung, buruh, nelayan, petani tidak ada tempat dalam politik seperti ini.

Artikel Berkaitan:

Menjatuhkan sebuah kerajaan secara begitu adalah politik luar tabii, politik sakit dan jijik.

Walaupun pembubaran Parlimen menjadi tuntutan yang dilaungkan oleh gabungan pakatan parti yang bermatlamat menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat, namun bila gagal dalam komplot menjatuhkannya secara sokongan ahli Parlimen, tiba-tiba strategi bertukar menjadi pakatan menolak sokongan terhadap Dr Mahathir.

Dalam kebingungan rakyat itulah gelanggang politik diolah ke tahap paling memualkan (melompat parti, menjual sokongan, berpaling tadah, berkomplot, memfitnah dan berbohong).

Sudah tiada lagi aturan politik bermoral, yang ada politik berkomplot, pintas dan cantas.

Setiap ahli Parlimen dipanggil menghadap di istana untuk mengetahui secara berdepan siapa pilihan mereka. Ia tidak pernah berlaku dalam sejarah politik negara. Namun dikatakan istana tidak mendapat majoriti yang jelas.

Menjatuhkan

Politik berputar pantas. Setiap hari melangkah ke strategi baharu. Mula membangkang kemudian menyokong selepas itu menentang pula.

Mula dilaungkan cara yang terbaik ialah kembalikan semula kepada rakyat untuk menentukan kerajaan yang mereka mahu, akhirnya berputar strategi kepada pintu belakang bila peluang baharu muncul.

Strategi pintu belakang, depan, kiri dan kanan, semua diguna agar dapat menjatuhkan lawan. Dulu bermusuh kemudian berdakap, dulu mengecam kini saling memuji dan berbahagia tidur bersama. Itulah hipokrasi tahap tinggi.

Memang titah dari istana wajar diakui dan semua perlu akur berdasarkan perlembagaan akan tetapi itulah kes duluan dalam percaturan politik yang tidak sepatutnya berlaku.

Berdasarkan episod itu, kaedah memintas lawan bukan melalui pintu hadapan atas amat jelek.

Ia menjadi alasan selepas ini percaturan sebegini boleh diamalkan di masa hadapan.

Rakyat mengharapkan keadaan akan reda, walaupun ia adalah amal politik yang sangat jelek. Inilah politik 'power is be all and end all'. Ahli politik akan terus mencatur.

Rakyat menyaksikan semua ini dan akan menyimpan dalam ingatan. Apakah kaedah ini akan dicuba lagi di masa akan datang?

Sementara keputusan istana sudah dibuat, ruang demokrasi perlu dipelihara untuk mendebat dan mengusulkan undian di Parlimen sama ada Muhyiddin benar-benar memiliki sokongan majoriti atau sebaliknya.

Rakyat mengharapkan jangan ada politik pasar malam. Yang berjual beli sokongan dan tawar-menawar politik di pintu belakang. Debat politik di dewan tidak boleh dibenarkan dicemari dengan sandiwara dan komplot saling menjatuhkan.

Suara rakyat kini bergantung kepada percaturan politik. Suara rakyat nampaknya bukan lagi keramat. Politik rakyat hanya retorik. 'Real politics' adalah gelanggang yang sarat dengan dendam dan konflik.

Bergelumang dengan strategi dan konspirasi. Politik sangat tidak boleh diduga dan sering berubah. Fake news menjadi senjata, membina persepsi merupakan kaedah paling berkesan merubah pemikiran rakyat.

Semua berharap Malaysia selamat dan terus aman. Politik tidak bermoral tidak seharusnya dibiarkan mencemari demokrasi Malaysia.

Dalam keadaan rakyat dan negara bergelut di tengah-tengah dunia dilanda wabak koronavirus (Covid-19) yang menjejaskan ekonomi, ketegangan dan peperangan berterusan di serata dunia, rakyat mengharapkan negara melangkah ke hadapan dan tidak terus bergelut dalam kancah konspirasi dan komplot politik yang melelahkan.

* Mohd Azmi Abdul Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!