Calon BN perlu aktif media sosial - Ahmad Maslan

Ahmad (dua dari kanan) bersama penduduk di Kampung Parit Panjang Ayer Baloi pada Sabtu.
Ahmad (dua dari kanan) bersama penduduk di Kampung Parit Panjang Ayer Baloi pada Sabtu.
A
A
A

PONTIAN - Calon Barisan Nasional (BN) yang bakal diumum bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri perlu menguasai media sosial bagi bersaing dengan parti pembangkang khususnya untuk menawan hati pengundi muda.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, platform media sosial popular seperti Facebook (FB), Instagram, Telegram dan TikTok, kini menjadi pilihan bagi mendapat pelbagai maklumat dengan mudah.

Justeru, setiap calon tidak mengira peringkat usia perlu membuka dan mengaktifkan akaun media sosial masing-masing sebagai salah satu pendekatan berkempen selain turun padang bertemu pengundi.

"Saya mengesyorkan 100 orang yang tersenarai sebagai calon perlu aktif media sosial. Ini kerana anak muda akan mencari segala maklumat berkenaan calon di media sosial.

"Berbaki kurang seminggu, nama calon akan diumumkan. Gunakan masa yang ada ini, untuk buka atau aktifkan semula media sosial. Letakkan segala maklumat dan perancangan yang hendak dibuat termasuk jadual harian ketika berkempen kelak di media sosial," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian ketika ditemui di Kampung Parit Panjang pada Sabtu.

BN mengumumkan senarai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 21 Julai ini.

Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu BN mendapat lebih 100 kerusi untuk ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Pada 5 Julai lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan bahawa PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijalankan serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian.

Tarikh penamaan calon di keenam-enam negeri ditetapkan pada 29 Julai manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Kewangan I memberitahu, sumbangan Asas Rahmah (SARa) sebanyak RM600 mulai Isnin merupakan langkah kerajaan bagi menoktahkan kemiskinan.

"SARa yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat, merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membasmi kemiskinan. Kerajaan mahu menoktahkan kemiskinan tegar pada tahun ini.

"Lebih 200,000 penerima STR yang dikategorikan sebagai miskin tegar berdasarkan data e-Kasih, akan turut menerima SARa. Sumbangan tersebut bagi membolehkan penerima mendapatkan barangan keperluan makanan asas," katanya.