Spa ditutup tiba-tiba, lebih 1,000 pelanggan rugi RM500,000

Antara mangsa penipuan yang hadir ke sidang akhbar di Bangunan MCA, Johor Bahru pada Isnin.
Antara mangsa penipuan yang hadir ke sidang akhbar di Bangunan MCA, Johor Bahru pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU –Lebih 1,000 pelanggan mendakwa menjadi mangsa penipuan apabila sebuah pusat kesihatan dan kecantikan (spa) yang beroperasi di beberapa cawangan seluruh negara ditutup tanpa sebarang notis awal.

Pengerusi Biro Aduan Perkhidmatan Awam MCA, Heng Zhi Li berkata, pusat spa tersebut yang mempunyai 28 cawangan di lima negeri termasuk Johor, menamatkan operasi menyebabkan pelanggan gagal menerima perkhidmatan walaupun sudah membuat bayaran penuh.

"Tindakan itu menyebabkan pengguna yang sudah membuat bayaran penuh tidak lagi menerima perkhidmatan yang dijanjikan. Kami menerima banyak aduan daripada pengguna sejak kebelakangan ini.

"Ramai yang terkejut apabila mendapati perkhidmatan yang dibayar ribuan hingga puluhan ribu ringgit tidak dapat diteruskan. Jumlah kerugian dianggarkan melebihi RM500,000,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan MCA, di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Zhi Li berkata, antara perkhidmatan yang ditawarkan oleh spa itu termasuk terapi leher dan bahu, rawatan angin, penjagaan kepala serta penjagaan wanita.

Tambahnya, harga asal bagi setiap sesi adalah antara RM288 hingga RM388 sebulan bagi pakej berjumlah antara RM2,400 hingga RM10,000.

“Kebanyakan mangsa merupakan suri rumah yang membuat bayaran tunai atau menggunakan kad kredit secara ansuran. Walaupun kini perkhidmatan itu dibatalkan, mereka masih perlu menjelaskan bayaran kepada pihak bank.

"Pengusaha pusat berkenaan, dalam satu video di Facebook, mendakwa bahawa operasi masih berjalan dan meminta pelanggan bersabar, tetapi siasatan kami mendapati semua cawangan telah ditutup.

Artikel Berkaitan:

“Hasil semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan syarikat ini memiliki 28 cawangan yang didaftarkan dan akan tamat pada 30 April, namun ada cawangan yang masih aktif sehingga 6 atau 7 Mei. Situasi ini menimbulkan kekeliruan kepada pelanggan,” jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, antara alasan yang diberikan oleh pengusaha bagi menamatkan operasi ialah masalah aliran tunai dan kekurangan tenaga kerja.

"Di Johor sahaja terdapat 11 cawangan, dan sehingga pagi Isnin, sebanyak 54 laporan polis telah diterima oleh MCA Johor membabitkan kes yang sama.

"Kami menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk menyiasat kes ini dengan segera. Kami juga memberikan tempoh seminggu kepada pengusaha untuk menghubungi pelanggan dan mencari penyelesaian.

"Pada masa sama, kami telah mencadangkan kepada pengadu untuk membuat tuntutan melalui Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM),” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!