Gelap mata untung lumayan, warga emas rugi RM500,000

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki warga emas kerugian RM500,000 apabila terpedaya pelaburan tidak wujud yang menjanjikan pulangan lumayan, kata Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh.
Beliau berkata, pihaknya menerima satu laporan semalam daripada mangsa berusia 84 tahun yang mendakwa dirinya telah dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp pelaburan dan berurusan dengan seorang lelaki pada Oktober lepas.
Lelaki itu telah memberikan penerangan mengenai pelaburan berkenaan yang menjanjikan keuntungan hingga 100 peratus.
Beliau berkata, mangsa yang tertarik dengan keuntungan dijanjikan telah memuat turun sebuah aplikasi bagi memantau keuntungan dan sebanyak 12 transaksi pembayaran telah dibuat mangsa melalui cek ke dua akaun berbeza yang diberikan bermula 6 hingga 15 Januari dengan jumlah keseluruhan RM500,000.
"Mangsa menyedari ditipu setelah akauntannya memberitahu pelaburan itu tidak betul selepas diminta membuat bayaran tambahan jika ingin mengeluarkan wang keuntungan dalam dolar AS sepertimana dipaparkan dalam pautan itu.
"Sekiranya mangsa enggan membuat bayaran lebih, keuntungan akan dibekukan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan juga akan meliputi penglibatan 'keldai akaun'. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!