Tragedi anak gajah: Cerminan gagal urus laluan haiwan liar

Laporan Sinar Harian berhubung kenyataan Perhilitan mengenai kes kemalangan libatkan anak gajah tahun ini
Laporan Sinar Harian berhubung kenyataan Perhilitan mengenai kes kemalangan libatkan anak gajah tahun ini
A
A
A

PUTRAJAYA – Insiden menyayat hati membabitkan anak gajah yang mati dilanggar lori di Lebuhraya Timur-Barat Gerik-Jeli, Perak mencerminkan kegagalan berterusan dalam menangani isu keselamatan jalan raya di kawasan habitat hidupan liar.

Aktivis keselamatan jalan raya, Datuk Mohammad Hisham Shafe berkata, kemalangan tragis itu membuktikan bahawa langkah perlindungan haiwan liar masih tidak mencukupi di lokasi berisiko tinggi meskipun insiden seperti ini sering berlaku.

“Perlanggaran melibatkan haiwan liar bukan lagi kes terpencil. Ia kerap berlaku di beberapa negeri, namun respons yang diambil tidak menyeluruh dan kurang berkesan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, sudah tiba masanya agensi berkaitan seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta pihak berkuasa tempatan menjalankan kajian terperinci untuk mengenal pasti kawasan panas kemalangan melibatkan hidupan liar.

“Kajian ini perlu diikuti dengan tindakan konkrit termasuk pembinaan lintasan khas haiwan, pemasangan papan tanda amaran yang lebih ketara serta penggunaan teknologi pemantauan canggih untuk mengurangkan risiko pelanggaran,” katanya lagi.

Terdahulu, rakaman video seekor gajah betina yang enggan berganjak dari lokasi kejadian selepas anaknya mati dilanggar lori, tular di media sosial dan mengundang rasa simpati netizen.

Gajah betina itu dilihat cuba menolak lori yang dipercayai terlibat dalam kemalangan sekitar jam 2.50 pagi Ahad.

Mengulas dakwaan bahawa gajah tersebut melintas secara tiba-tiba, Mohammad Hisham mempersoalkan tahap kelajuan lori berkenaan yang dikatakan gagal mengelak.

Artikel Berkaitan:

“Ini perlu disiasat dengan teliti. Di kawasan laluan haiwan liar, had laju sepatutnya lebih rendah dan pemandu perlu lebih berwaspada,” tegas beliau.

Tambahnya, faktor persekitaran seperti kabus tebal juga perlu diberi perhatian dan penggunaan lampu anti-kabus serta sistem amaran visual seharusnya diwajibkan di laluan kritikal seperti itu.

“Sekiranya pematuhan had laju dipertingkatkan, penguatkuasaan dijalankan secara berkesan dan pendekatan teknikal sesuai digunakan, kemalangan seperti ini sebenarnya boleh dicegah,” katanya.

Mohammad Hisham menegaskan, keselamatan jalan raya bukan hanya berkaitan nyawa manusia, sebaliknya ia turut melibatkan tanggungjawab menjaga kelestarian alam dan melindungi spesies terancam.

“Jangan biarkan kematian anak gajah ini menjadi sekadar satu lagi statistik. Jadikan ia titik tolak kepada reformasi dasar yang lebih tegas dan menyeluruh,” tegas beliau.

Sementara itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam satu kenyataan berkata, JKR negeri bersama Jabatan Perhilitan telah memasang papan tanda amaran khas di lokasi-lokasi dikenal pasti sebagai laluan gajah.

Sebanyak 39 lintasan gajah di seluruh negara turut dilengkapi lampu jalan bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya dan melindungi haiwan liar.

"Pemandu diharap mengurangkan kelajuan dan sentiasa berhati-hati supaya tidak mencederakan atau membunuh gajah yang melintas jalan," kata kenyataan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!