Kasihnya ibu gajah: Undang-undang perlindungan haiwan, sekadar atas kertas?

Kejadian seekor ibu gajah yang dirakam sedang cuba menolak sebuah lori selepas anaknya dipercayai mati akibat dilanggar kenderaan berat pada awal pagi itu mengundang sebak ramai.
Kejadian seekor ibu gajah yang dirakam sedang cuba menolak sebuah lori selepas anaknya dipercayai mati akibat dilanggar kenderaan berat pada awal pagi itu mengundang sebak ramai.
A
A
A

KEHADIRAN haiwan liar seperti gajah, harimau, tapir dan beruang matahari yang melintasi kawasan kampung atau ladang bukan lagi perkara luar biasa di Malaysia.

Semakin banyak laporan menunjukkan haiwan ini tersesat ke kawasan penempatan manusia, menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduk, malah dalam beberapa kes mengakibatkan kerosakan harta benda dan kecederaan.

Isu ini sering dikaitkan dengan kehilangan habitat semula jadi akibat pembangunan, pembalakan dan pembukaan ladang berskala besar yang memaksa haiwan keluar dari kawasan asal mereka untuk mencari makanan dan perlindungan.

Namun, lain pula ceritanya pada Hari Ibu tahun ini apabila rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita kematian seekor anak gajah di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli.

Terbaharu, kejadian seekor ibu gajah yang dirakam sedang cuba menolak sebuah lori selepas anaknya dipercayai mati akibat dilanggar kenderaan berat pada awal pagi itu mengundang sebak ramai.

Video menyayat hati berdurasi seminit 11 saat yang tular di media sosial itu mengundang reaksi simpati apabila melihat tindakan si ibu yang enggan berganjak dari lokasi kejadian demi menyelamatkan anaknya.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood memaklumkan, disebabkan jarak terlalu dekat, pemandu lori tidak sempat berhenti lalu melanggar anak gajah tersebut yang mati di tempat kejadian.

Susulan itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memberitahu, ibu gajah tersebut mungkin akan kembali semula ke lokasi berkenaan, dipercayai kerana ikatan emosi terhadap anaknya.

Artikel Berkaitan:

Perkara itu bukan sahaja memilukan, malah membuktikan bahawa kasih sayang bukan hanya milik manusia, sebaliknya turut wujud secara semula jadi dalam dunia haiwan.

Namun yang lebih penting untuk ditanya sekarang adalah, sejauh mana negara ini benar-benar melindungi haiwan liar seperti gajah yang diiktiraf sebagai spesies dilindungi?

Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 atau Akta 716 sepatutnya menjadi benteng utama perlindungan terhadap haiwan liar, namun kejadian demi kejadian menunjukkan bahawa pelaksanaannya masih belum berkesan.

Hutan simpan yang sepatutnya menjadi zon selamat buat spesies seperti gajah semakin terancam dengan pembukaan tanah, pembangunan tidak terkawal dan laluan manusia yang merentasi habitat semula jadi.

Apabila ruang hidup haiwan liar semakin sempit, konflik antara manusia dan haiwan menjadi tidak dapat dielakkan serta malangnya, haiwan sering menjadi mangsa.

Perlindungan atas kertas sahaja tidak memadai jika tiada penguatkuasaan tegas terhadap pencerobohan kawasan hutan atau jika aktiviti pembalakan terus diberi kelonggaran atas nama pembangunan.

Dalam pada itu, perhilitan selaku agensi pelaksana telah menjalankan pelbagai inisiatif, namun berdepan cabaran besar daripada segi sumber manusia, kekuatan logistik dan had kuasa penguatkuasaan.

Kerajaan negeri pula memainkan peranan penting kerana banyak kelulusan pembangunan terletak dalam bidang kuasa mereka, bukan hanya di tangan kerajaan Persekutuan.

Ketiadaan pelan menyeluruh yang menghubungkan hutan simpan dengan laluan selamat untuk pergerakan haiwan turut menyumbang kepada gangguan terhadap kehidupan semula jadi mereka.

Apa yang perlu kini ialah penyelarasan semula dasar perlindungan hidupan liar agar benar-benar mencerminkan keperluan semasa dan bukan sekadar simbolik yang manis dibaca tetapi tidak diamalkan.

Rakyat juga perlu diberi pendidikan dan kesedaran mengenai kepentingan memelihara habitat semula jadi kerana tanggungjawab memelihara alam sekitar bukan hanya terletak pada bahu agensi kerajaan.

Hari Ibu tahun ini menjadi detik yang menyentuh jiwa, bukan hanya kerana kasih seorang ibu diraikan, tetapi kerana kasih seekor ibu gajah telah membangkitkan persoalan besar tentang nilai kita terhadap kehidupan lain di bumi ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!