Penghantar Malaysia gesa kerajaan perkasa undang-undang industri gig

SHAH ALAM - Kerajaan perlu memperkasakan undang-undang industri gig khususnya sektor e-hailing dan p-hailing melibatkan keseluruhan pemegang-pemegang taruh yang terlibat serta meliputi rantaian ekosistem industri.
Persatuan Penghantar P-hailing Malaysia (Penghantar Malaysia) berkata, ia bertujuan bagi memastikan setiap perundangan seimbang kepada semua pihak termasuk impak pelaksanaan dan penguatkuasaan.
"Kami tidak mahu perundangan baru bakal diwujudkan tidak mampu menyelesaikan isu dan permasalahan industri secara berkesan, malah akhirnya membebankan industri terutama kepada kami yang menyediakan khidmat e-hailing dan p-hailing.
"Penghantar Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang telah mengesahkan status dua syarikat e-hailing yang beroperasi di negara ini iaitu InDrive dan Maxim," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, kerajaan mengarahkan dua aplikasi e-hailing dari Rusia, InDrive dan Maxim menghentikan operasi masing-masing berkuat kuasa 24 Julai ini kerana didakwa beroperasi secara haram.
Anthony Loke berkata, surat kepada kedua-dua aplikasi berkenaan supaya menghentikan operasi juga telah dihantar oleh pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) baru-baru ini.
Tambah kenyataan tersebut, pengesahan berkenaan memberikan kejelasan yang amat diperlukan kepada pemandu bernaung di bawah dua syarikat itu sekali gus memudahkan mereka merancang langkah seterusnya sekiranya ingin meneruskan perkhidmatan e-hailing.
"Untuk makluman, kesalahan yang dilakukan ini adalah bukan kali pertama. Sebagai contoh, EHO InDrive sebelum ini pernah diambil tindakan oleh APAD akibat daripada ketidakpatuhan mereka terhadap undang-undang sedia ada.
"Walaupun dalam tempoh penggantungan tersebut, mereka masih menjalankan beroperasi dengan menggunakan kaedah lain dan ini jelas adalah satu tindakan penghinaan dan pencabulan terhadap kedaulatan undang-undang negara," ujarnya.
Penghantar Malaysia berpendapat, undang-undang yang telah dikuatkuasakan perlu dimartabatkan oleh semua pihak terlibat.
Jelasnya, situasi itu bukan sahaja tidak adil kepada pemandu yang mematuhi undang-undang dan peraturan sedia ada, malah turut memberi kesan negatif kepada industri e-hailing secara keseluruhan .
"Kami juga menerima laporan terdapat dakwaan bahawa sebahagian pemandu yang berdaftar di bawah salah satu syarikat terbabit menyerahkan perkhidmatan kepada warga asing, terutamanya di Sabah.
"Amalan ‘Ali Baba’ ini sebenarnya bukan sahaja menjejaskan pendapatan pemandu tempatan, malah mendedahkan penumpang kepada risiko keselamatan yang amat tinggi.
"Kami juga mendesak agar operasi penguatkuasaan dan tindakan segera serta tegas diambil bagi membanteras mana-mana pemilik Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang menyalahgunakan lesen mereka," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

