Kerajaan digesa sekat operasi InDrive, Maxim

Kerajaan digesa mengambil tindakan segera bagi menyekat akses orang awam kepada aplikasi InDrive dan Maxim yang didakwa beroperasi tanpa kebenaran di negara ini. Foto123RF
Kerajaan digesa mengambil tindakan segera bagi menyekat akses orang awam kepada aplikasi InDrive dan Maxim yang didakwa beroperasi tanpa kebenaran di negara ini. Foto123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa mengambil tindakan segera bagi menyekat akses orang awam kepada aplikasi InDrive dan Maxim yang didakwa beroperasi tanpa kebenaran serta mengancam keselamatan pemandu dan pengguna di negara ini.

Menurut Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar Malaysia), kerajaan juga perlu mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan status sebenar pengoperasian kedua-dua platform tersebut, susulan penerimaan surat penutupan operasi daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sebelum ini.

Menurut kenyataan persatuan itu pada Selasa, kedua-dua aplikasi e-hailing berkenaan didapati masih menawarkan perkhidmatan meskipun tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan di bawah undang-undang sedia ada, termasuk kewajipan memiliki Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang sah.

“Tindakan ini bukan sahaja tidak adil kepada pemandu yang mematuhi undang-undang, malah turut menjejaskan keselamatan penumpang.

“Kami dapati ada dalam kalangan pemandu mereka yang dibenarkan beroperasi tanpa Lesen PSV, tidak mempunyai insurans e-hailing serta gagal menjalani pemeriksaan kenderaan sebagaimana yang diwajibkan,” kata kenyataan itu.

Penghantar Malaysia turut mengkritik kenyataan umum pihak InDrive yang mendakwa operasi mereka berjalan seperti biasa walaupun telah menerima surat amaran dan arahan penutupan daripada APAD.

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan menegaskan bahawa tiada mana-mana penyedia perkhidmatan e-hailing di negara ini dibenarkan menggunakan sistem bidaan harga tambang kepada penumpang.

Namun demikian, Pengurus Pembangunan Perniagaan Asia Tenggara dan Luar Negara inDrive, Afanasiy Petrov, dilaporkan berkata bahawa lesen operasi mereka telah disambung selama dua tahun lagi dan perkhidmatan terus berjalan seperti biasa.

Penghantar Malaysia menambah bahawa penguatkuasaan secara berterusan perlu dilaksanakan segera oleh pihak berkuasa supaya aplikasi-aplikasi yang tidak sah itu benar-benar dihentikan operasinya di negara ini.

Artikel Berkaitan:

“Kita tidak mahu situasi sama berulang seperti sebelum ini, apabila aplikasi yang telah diharamkan terus beroperasi dengan cara lain.

“Kerajaan perlu menunjukkan komitmen tegas terhadap keselamatan pemandu dan pengguna, selain memastikan keadilan dalam industri gig sektor e-hailing,” tegas kenyataan itu lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!