'Kami pernah dedah pencerobohan hutan Raub punca banjir lumpur' - Geram

KUANTAN – “Apabila Tuanku (Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) mendedahkan jumlah hektar yang begitu besar, ia bukan sesuatu yang mengejutkan. Kami sudah menjangkakan perkara itu sejak dahulu.”
Demikian ujar Pengerusi Gerakan Rakyat Hentikan Pencemaran Bauksit (Geram), Ali Akbar Othman, susulan pendedahan Al-Sultan Abdullah berhubung lebih 26,000 ekar (10,521 hektar) tanah kerajaan di Raub yang telah diceroboh secara haram.
Menurutnya, pihaknya konsisten membangkitkan isu berkaitan penerokaan hutan secara haram di daerah berkenaan sejak sekian lama, termasuk ketika kejadian banjir lumpur yang sering berlaku di kawasan tersebut.
“Apa yang selama ini dibangkitkan oleh NGO (pertubuhan bukan kerajaan) berkenaan isu penerokaan haram hutan di Raub adalah benar.
“Dulu, kami pernah membangkitkan perkara ini apabila berlaku banjir lumpur di Raub, yang mungkin berpunca daripada aktiviti pencerobohan hutan,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Pada Khamis lalu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa terkejut dengan keluasan tanah kerajaan yang diteroka secara haram untuk penanaman durian di Raub.
Setakat ini, Ketua Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang, Saifullah Muhammad Ali, memaklumkan bahawa dalam Operasi Sekat 3.0 yang dijalankan bulan lalu, pihaknya telah menebang pokok durian di kawasan seluas 202.34 hektar di tanah milik kerajaan negeri.
Ali Akbar menjelaskan bahawa Geram menyambut baik titah baginda untuk menoktahkan aktiviti penerokaan haram tersebut dan berharap usaha itu tidak hanya terhenti di Raub semata-mata.
“Kami menyambut baik apa yang Tuanku nyatakan dan berharap tindakan ini turut dilaksanakan di kawasan lain, bukan hanya di Raub,” ujarnya.
Katanya lagi, penerokaan haram bukan hanya berlaku di satu kawasan sahaja, sebaliknya turut melibatkan beberapa lokasi lain yang telah dikenal pasti.
Beliau turut menggesa kerajaan negeri memperluas pemantauan dan penguatkuasaan agar tidak tertumpu di satu kawasan sahaja.
“Di Pahang, banyak tempat lain termasuk Bentong, Sri Jaya dan Sungai Jerik di Maran, yang merupakan antara lokasi tumpuan berlakunya pencerobohan hutan.
“Kami juga berharap kerajaan negeri memperluas tindakan penguatkuasaan dan tinjauan ke kawasan-kawasan lain, agar usaha ini tidak terhenti di Raub,” tegasnya.
Penerokaan haram durian di Raub perlu dihentikan segera – SAM
KUANTAN – Pendedahan berhubung keluasan tanah yang diteroka secara haram bagi aktiviti penanaman durian di Raub sehingga mencecah 10,521 hektar merupakan satu angka yang besar dan perlu dihentikan segera bagi mengelakkan situasi sama berulang di lokasi lain.
Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata demikian susulan titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang menzahirkan rasa terkejut dengan jumlah keluasan tersebut pada Khamis lalu.
“Kita menjunjung kasih atas titah dan ketegasan Tuanku yang menunjukkan keprihatinan terhadap isu pencerobohan tanah kerajaan, khususnya kawasan berstatus Hutan Simpanan Kekal (HSK).
“Nampaknya isu ini amat serius kerana ia melibatkan skala keluasan yang besar,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut beliau, bagi mengelakkan insiden sama berulang di kawasan lain, kerajaan negeri perlu memberikan kuasa sepenuhnya kepada agensi-agensi berkaitan untuk mengambil tindakan sewajarnya tanpa perlu terlebih dahulu mendapatkan kelulusan atau kebenaran daripada pihak berkuasa negeri.
Jelasnya, tindakan itu boleh dilaksanakan selagi penguatkuasaan dan pelaksanaannya tertakluk kepada bidang kuasa agensi berkenaan.
“Sebagai contoh, Jabatan Perhutanan negeri boleh terus mengambil tindakan di bawah Enakmen Perhutanan Negeri dan peruntukan undang-undang berkaitan sekiranya berlaku aktiviti pencerobohan kawasan HSK, tanpa perlu merujuk atau mendapat arahan daripada pihak berkuasa negeri.
“Begitu juga Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri boleh menggunakan kuasa di bawah Kanun Tanah Negara 1965 tanpa perlu mendapat kebenaran terlebih dahulu,” katanya.
Tambah beliau, cukup sekadar tindakan itu dimaklumkan kepada pihak berkuasa negeri sebagai makluman rasmi.
Mengulas cadangan penggunaan imejan satelit masa nyata oleh Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) bagi tujuan pemantauan, beliau berpendapat langkah itu tidak akan membawa kesan jika agensi berkaitan tidak diberikan kuasa untuk mengambil tindakan lanjut.
“Semua tindakan kini memerlukan ‘lampu hijau’ daripada pihak berkuasa negeri sedangkan agensi-agensi terbabit sebenarnya sudah mempunyai punca kuasa berdasarkan undang-undang sedia ada,” tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

