Penciptaan Atlas Ecopod berkait rapat dengan agenda kelestarian

PUTRAJAYA-Penciptaan dan pelaksanaan mesin layan diri kitar semula berasaskan kecerdasan buatan (AI), Atlas Ecopod berkait rapat dengan agenda kelestarian negara.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Malaysia menghasilkan lebih satu juta tan sisa plastik setiap tahun namun hanya sebahagian kecil dikitar semula.
Menurutnya, ia menjadi cabaran besar di kawasan bandar dan memberi kesan kepada kesihatan awam, kelestarian alam dan kemakmuran ekonomi.
“Dengan Ecopod, kita bukan sahaja dapat mengurangkan impak negatif pengurusan sisa plastik, tetapi juga dapat memperkukuh usaha-usaha negara ke arah pengurangan jejak karbon,” katanya dalam ucapan di Majlis Pelancaran Atlas Ecopod di sini pada Khamis.
Ujar beliau, dalam konteks Malaysia Madani yang menekankan prinsip kelestarian dan kesejahteraan alam sekitar, reka cipta mesin Atlas Ecopod adalah selaras dengan dasar-dasar kerajaan dalam mengurangkan kesan perubahan iklim dan menjamin kelestarian alam untuk generasi yang akan datang.
“Inisiatif seperti Ecopod ini bukan sahaja menyokong dasar kerajaan malah menggerakkan tindakan masyarakat akar umbi ke arah budaya kelestarian yang menyeluruh.
“Menerusi pendedahan kepada teknologi lestari seperti Ecopod, kita mendidik generasi muda supaya lebih menghargai sumber, bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan mengamalkan gaya hidup rendah karbon sejak dari bangku sekolah lagi,” jelas Nik Nazmi.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Etika, Santharuban Thurai Sundaram dan Naib Presiden Pemasaran Etika, Amy Gan.

Pada majlis sama, Atlast Ecopod turut menerima pengaktifan Guinness World Record sebagai Thinnest Reverse Vending Machine with Compaction System (Sistem Pemadat).
Mesin yang dibangunkan berdasarkan bukan sekadar penyelesaian kitar semula, tetapi menjadi satu platform yang dapat mengubah sikap pengguna dan membentuk kesedaran jangka panjang ke arah usaha melindungi alam sekitar di Malaysia.
Sementara itu, Santharuban Thurai Sundaram berkata, keunikan mesin itu terletak pada reka bentuknya yang ultraslim at 35 cm wide, sangat nipis serta sistem AI yang canggih membolehkannya mengasing, mengimbas dan memberi ganjaran kepada pengguna dengan kredit tebusan untuk setiap usaha kitar semula.
Atlas Ecopod menyertai rangkaian inovasi berteraskan kelestarian yang telah diperkenalkan oleh Atlas Vending sebelum ini termasuklah inisiatif yang menekankan aksesibiliti dan keterangkuman, seperti pengenalan kepada mesin layan diri dengan ciri penterjemah Braille untuk golongan cacat penglihatan dan reka bentuk mesra pengguna untuk yang berkerusi roda.
Selain itu, pelancaran Atlas Ecopod turut memperkenalkan penampilan luaran yang baru dan berkilat, disempurnakan dengan tagline Small Footprint, Big Impact! yang menonjolkan ciri-ciri canggih mesin dalam pakej yang padat dan praktikal.
Reka bentuk baharu yang mantap itu juga menzahirkan komitmen Atlas terhadap masa depan yang lestari, dengan cara yang memperkukuhkan kehadirannya tanpa perlu mengubah teknologi kejuruteraan yang telah terbukti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
