NCEC lulus cadangan kerangka EPR dan pelaksanaan mandatori reka bentuk eko

Kor Ming
Kor Ming
A
A
A

PUTRAJAYA – Mesyuarat Majlis Ekonomi Kitaran bagi Sisa Pepejal (NCEC) pada Jumaat meluluskan secara dasar cadangan kerangka Polisi Peluasan Tanggungjawab Pengeluar (EPR) dan pelaksanaan mandatori reka bentuk eko.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, EPR merupakan antara fokus utama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tahun ini yang menekankan aspek ‘Tanggungjawab Bersama Kerajaan-Swasta’ dalam pengurusan sisa pepejal.

“EPR merupakan instrumen tunjang dalam ekonomi kitaran dengan meletakkan tanggungjawab bersama kerajaan dan industri bagi menguruskan sisa secara mampan dan bertanggungjawab, seterusnya mengurangkan beban kewangan kerajaan dalam pengurusan sisa pepejal,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mempengerusikan mesyuarat NCEC di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata, kerangka Polisi EPR yang dibangunkan oleh KPKT adalah hasil sesi libat urus bersama pelbagai pemegang taruh, terutamanya pihak industri, yang merangkumi elemen utama seperti model EPR, penentuan syarikat berkewajipan, sasaran pemerolehan, jenis bahan, fasa pelaksanaan serta peranan dan tanggungjawab pemegang taruh berkaitan.

Kor Ming berkata, NCEC turut meluluskan empat polisi baharu bagi memacu ekonomi kitaran, antaranya cadangan pelaksanaan mandatori reka bentuk eko yang dikemukakan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), meliputi pembangunan dasar dan peraturan mandatori, rangka kerja, garis panduan serta piawaian reka bentuk eko.

“Produk reka bentuk eko ini akan dapat memupuk budaya penggunaan produk mampan serta keyakinan pengguna,” katanya.

Beliau berkata, NCEC turut bersetuju supaya semua kompleks membeli-belah diwajibkan menyediakan kemudahan pusat kitar semula atau pusat kitar semula pandu lalu (drive-through recycling centre) sebagai syarat lesen premis pihak berkuasa tempatan (PBT) berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.

Kor Ming berkata, mesyuarat juga mengambil maklum mengenai inisiatif ‘KITAR: Peranti Lama, Nafas Baharu’ yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), yang menekankan kepentingan pengurusan e-waste secara cekap dan berkesan melalui proses kitar semula dan remanufaktur.

Di samping itu, beliau berkata Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) turut memaklumkan pelaksanaan Program Kitar Semula di residensi Komuniti PR1MA dengan kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), yang melibatkan pembelian minyak masak terpakai, barangan kitar semula serta aktiviti meningkatkan komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam.

Artikel Berkaitan:

“Inisiatif ini adalah contoh yang menyokong pelaksanaan blueprint agar pemaju perumahan menyediakan kemudahan yang menyokong pelaksanaan ekonomi kitaran serta bergerak bersama kerajaan dalam transformasi ke arah masyarakat rendah karbon,” katanya.

Kor Ming berkata, semua hasil NCEC ini adalah sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Blueprint Ekonomi Kitaran bagi Sisa Pepejal 2025–2035 bagi merealisasikan agenda negara dalam mentransformasikan pengurusan sisa pepejal mengikut model ekonomi kitaran.

“Susulan itu, KPKT akan mengemukakan hasil mesyuarat kali ini untuk pertimbangan dan kelulusan mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya.

Kor Ming turut memaklumkan mengenai penganjuran Hari Cuci Malaysia yang dijadual berlangsung pada 27 September ini di Port Dickson, dan bakal melibatkan 100,000 peserta dari seluruh negara termasuk kementerian, jabatan, persatuan, industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan, pasukan keselamatan dan orang awam.

Program tahunan itu bertujuan memperkukuh kesedaran masyarakat Malaysia mengenai kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!