Mydin santuni bakal jemaah haji kurang berkemampuan

Mohammad Fahmi (enam dari kiri) dan Ameer Ali (tengah) bergambar bersama bakal jemaah haji pada Program Santuni Duyufurrahman 1446H di Mydin USJ pada Ahad. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID. Gambar kecil dari kiri: Ameer Ali, Mohammad Fahmi
Mohammad Fahmi (enam dari kiri) dan Ameer Ali (tengah) bergambar bersama bakal jemaah haji pada Program Santuni Duyufurrahman 1446H di Mydin USJ pada Ahad. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID. Gambar kecil dari kiri: Ameer Ali, Mohammad Fahmi
A
A
A

SUBANG JAYA – Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) menganjurkan Program Santuni Duyufurrahman 1446H dengan membantu bakal jemaah haji yang kurang berkemampuan.

Pengarah Urusannya, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, pihaknya telah memilih seramai 10 individu yang layak dengan kerjasama pihak masjid dan pemimpin komuniti setempat.

"Sebenarnya ini kali pertama kami adakan program sebegini secara khusus untuk membantu bakal jemaah haji.

“Kami tidak mengetahui secara terperinci siapa dalam kalangan masyarakat yang benar-benar memerlukan. Justeru, kami bekerjasama dengan pihak yang lebih mengetahui seperti wakil masjid,” katanya ketika ditemui dalam program berkenaan pada Ahad.

Turut hadir, Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah.

Menurut Ameer, penerima bantuan diberikan sumbangan wang tunai dan baucar yang boleh digunakan untuk membeli keperluan asas di Mydin.

Mohammad Fahmi (dua dari kanan) yang diiringi Ameer Ali (kanan) menyampaikan sumbangan kepada bakal jemaah haji pada Program Santuni Duyufurrahman 1446H di Mydin USJ pada Ahad. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Mohammad Fahmi (dua dari kanan) yang diiringi Ameer Ali (kanan) menyampaikan sumbangan kepada bakal jemaah haji pada Program Santuni Duyufurrahman 1446H di Mydin USJ pada Ahad. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.

"Kita serahkan kepada mereka untuk beli apa sahaja keperluan sama ada makanan, mi segera atau barangan lain yang mereka perlukan.

"Walaupun bantuan ini tidak besar, sekurang-kurangnya ia dapat membantu meringankan beban kewangan mereka dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pemilihan penerima dibuat secara seimbang melibatkan lelaki dan wanita, namun tidak ditetapkan secara khusus mengikut jantina.

Ameer Ali memberitahu, peningkatan harga barangan turut berlaku di luar negara termasuk di Arab Saudi, sekali gus memberi cabaran kepada bakal jemaah haji yang memerlukan bantuan tambahan.

Sementara itu, Mohammad Fahmi berkata, kerajaan negeri Selangor menzahirkan penghargaan kepada pihak Mydin atas keprihatinan membantu bakal jemaah.

“Alhamdulillah, kita bersyukur dapat bersama dalam program ini yang memberikan manfaat besar kepada para jemaah. Sumbangan ini membantu meringankan beban mereka yang bakal menunaikan haji, satu impian setiap umat Islam,” katanya.

Menurut beliau, tahun lalu kerajaan negeri menaja seramai 36 jemaah haji terpilih daripada golongan asnaf dan warga emas yang telah berjasa kepada masyarakat.

“Tahun ini, dengan kerjasama Tabung Haji, kita berjaya menggandakan jumlah itu kepada 72 jemaah di bawah Skim Haji Masjid-Masjid Negeri Selangor. Dana ini kita bahagikan bersama Tabung Haji bagi meringankan kos jemaah,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!