RM8 juta diperuntukkan perkukuh usahawan optometri bumiputera

Zulfikri (kanan) melawat pameran pada Majlis Perasmian Program Pembangunan Usahawan dalam Bidang Optometri di Seri Kembangan pada Khamis.
Zulfikri (kanan) melawat pameran pada Majlis Perasmian Program Pembangunan Usahawan dalam Bidang Optometri di Seri Kembangan pada Khamis.
A
A
A

SERI KEMBANGAN – Majlis Amanah Rakyat (Mara) memperuntukkan sebanyak RM8 juta bagi pelaksanaan fasa pertama Program Pembangunan Usahawan Dalam Bidang Optometri sebagai langkah strategik memperkukuh penglibatan usahawan bumiputera.

Ketua Pengarah Mara, Datuk Zulfikri Osman berkata, program berkenaan menyasarkan graduan bidang optometri yang berkelayakan dan berpotensi tinggi untuk dibimbing sehingga berjaya membuka premis optometri sendiri, khususnya di pusat beli-belah terpilih.

Beliau berkata, daripada 6,700 kedai optometri yang beroperasi di seluruh negara, hanya 10 peratus dimiliki usahawan bumiputera dan majoritinya tidak berada di lokasi strategik seperti pusat beli-belah.

Zulfikri
Zulfikri

Katanya, Mara menjalinkan kerjasama strategik dengan syarikat industri, La Calisto Sdn Bhd bagi memastikan peserta program bukan sahaja diberi latihan intensif, malah ditawarkan peluang membuka premis optometri di lokasi strategik yang telah dikenal pasti.

“La Calisto turut membantu dari segi modul latihan, sokongan teknikal serta akses kepada pasaran,” katanya pada sidang media selepas pelancaran program itu pada Khamis.

Turut hadir Pengurus Besar La Calisto CF Wong dan Pengarah Bahagian Infrastruktur Komersial Mara, Lailatul Asmah Mohd Tahir.

Seramai 61 calon hadir ke sesi pemilihan kumpulan pertama program itu, namun hanya sekitar 30 peserta akan dipilih untuk fasa permulaan berdasarkan kelayakan, komitmen serta rekod akademik masing-masing.

Setiap peserta bakal menerima pembiayaan maksimum hingga RM400,000, tertakluk kepada keperluan dan kesesuaian pelan perniagaan.

Artikel Berkaitan:

Zulfikri berkata, program berkenaan ditujukan khas kepada graduan optometri dari institusi dalam dan luar negara, termasuk lepasan diploma yang mempunyai asas kukuh dalam bidang berkenaan.

“Peserta akan menjalani latihan intensif selama tiga hingga enam bulan merangkumi pengurusan kewangan, operasi kedai dan pemasaran sebelum memulakan perniagaan.

“Setiap perniagaan yang diwujudkan di bawah program ini akan dipantau rapi oleh 122 Pejabat Mara Daerah di seluruh negara, manakala pinjaman yang ditawarkan adalah untuk tempoh hingga 10 tahun,” ujarnya.

Menurut Zulfikri, Mara akan terus membimbing peserta menerusi pendekatan ‘handholding’ bagi memastikan kejayaan jangka panjang serta kelangsungan perniagaan.

Beliau berkata, program tersebut menggunakan pendekatan sama seperti beberapa inisiatif khas terdahulu yang mencatat kejayaan tinggi antaranya kerjasama dengan Petronas yang melahirkan 60 usahawan; program bersama anak syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menghasilkan 84 usahawan elektrik serta inisiatif tenaga solar yang melahirkan 78 usahawan bersama Gading Kencana.

Semua program khas itu, katanya, mencatat kadar kejayaan melebihi 90 peratus, sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan berstruktur dilaksanakan MARA.

Inisiatif itu juga sejajar dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Kongres Ekonomi Bumiputera supaya usahawan bumiputera memperkukuh kerjasama dengan rakan bukan bumiputera berpengalaman bagi mempercepatkan kemajuan ekonomi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!