Mamba gesa kaji semula e-invois, jejaskan usahawan digital

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengkaji semula pelaksanaan e-Invois terhadap perniagaan mikro yang beroperasi di platform e-dagang bagi memastikan penyertaan usahawan dalam ekonomi digital tidak terjejas.
Pengerusi Persatuan Peniaga Mikro Malaysia (Mamba), Tan Peng Beng, meluahkan kebimbangan terhadap kerangka e-Invois semasa yang dikenakan ke atas pemilik perniagaan mikro berniaga melalui platform e-dagang.
Menurutnya, dasar tersebut mungkin mencetuskan ketidakpuasan hati dalam kalangan usahawan kecil dan menjejaskan pertumbuhan digital.
“Di bawah peraturan semasa, e-Invois hanya diwajibkan bagi perniagaan fizikal yang mencatatkan hasil tahunan sebanyak RM150,000 dan ke atas.
“Namun begitu, bagi perniagaan yang beralih ke platform e-dagang, e-Invois diwajibkan tanpa mengira tahap pendapatan. Sebaliknya, perniagaan mikro yang membina laman web sendiri dan kekal di bawah ambang RM150,000 dikecualikan daripada kewajipan tersebut.
“Mamba memberi amaran bahawa piawaian yang tidak konsisten ini boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemilik perniagaan mikro yang sudah pun bergelut dengan peningkatan kos operasi, sentimen pengguna yang lemah dan ketidaktentuan berhubung penyesuaian tarif baharu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, kerajaan memberi pengecualian daripada pengeluaran e-Invois kepada peniaga kecil yang mempunyai jualan tahunan di bawah nilai ambang RM150,000 yang akan memberi manfaat kepada lebih 700,000 peniaga kecil seperti peniaga nasi lemak atau penjaja, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, kerajaan juga bersetuju fasa pelaksanaan e-Invois bagi perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) yang mempunyai nilai jualan tahunan antara RM150,000 dan RM500,000 setahun ditangguhkan kepada 1 Januari 2026.
Dalam pada itu, Peng Beng berkata, bagi kebanyakan pihak, kewajipan e-Invois yang dikenakan terutama apabila pelaksanaannya tidak dilaksanakan secara seragam, menyebabkan beban pentadbiran tambahan boleh dianggap tidak wajar dan membebankan.
“Kerajaan perlu mengelak daripada melaksanakan dasar yang membebankan pemain paling kecil dalam ekonomi kita. Ramai ahli kami menjalankan perniagaan seorang diri atau merupakan kedai keluarga yang baru mula meneroka jualan digital.
“Mengenakan kewajipan e-Invois semata-mata kerana mereka memilih untuk menjual di platform popular adalah tidak adil dan hanya menambah kerumitan yang tidak perlu.
“Tinjauan terkini oleh Datametrics Research and Information Centre (DARE) mendapati bahawa 94.7 peratus pemilik perniagaan dalam talian yang sedar tentang keperluan e-Invois menyeru agar dikecualikan, dengan alasan bahawa sistem ini terlalu rumit dan tidak sesuai untuk operasi berskala kecil,” ujarnya.
Menurut beliau, perkara tersebut jelas membuktikan bahawa usahawan mikro bukan sahaja berasa terbeban tetapi kini sedang menyuarakan bantahan secara aktif.
Pihaknya turut menekankan, dasar tersebut juga menimbulkan kekeliruan kepada pemilik perniagaan mikro yang kebanyakannya tidak mahir dengan e-dagang dan alat digital.
“Kami memberi amaran bahawa jurang peraturan ini boleh menjejaskan agenda pendigitalan kerajaan sendiri dengan menghalang perusahaan mikro daripada beralih kepada perdagangan dalam talian.
“Ketidaksamaan dalam cara platform digital dilayan hanya menambah kepada ketakutan dan keraguan yang sudah pun dirasai oleh ramai peniaga apabila berhadapan dengan dunia digital yang asing bagi mereka.
“Dengan trend perbelanjaan pengguna yang masih lemah akibat ketidaktentuan ekonomi semasa dan pelaksanaan tarif baharu, Mamba menekankan keperluan untuk langkah menyeluruh serta menyokong membina keyakinan perniagaan mikro, bukannya memburukkan lagi cabaran yang mereka hadapi,” kata Peng Beng.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
