Kecualikan perniagaan kecil dalam talian daripada e-invois - CCC

KERAJAAN digesa untuk mengkaji semula dan meminda rangka kerja e-invois sedia ada dengan mengecualikan perniagaan kecil dalam talian yang berpendapatan tahunan RM150,000 atau kurang.
Sebuah kumpulan advokasi pengguna global, Pusat Pilihan Pengguna (CCC) dalam satu kenyataan menyuarakan kebimbangan terhadap layanan tidak adil terhadap perniagaan kecil berdasarkan saluran jualan mereka fizikal atau dalam talian yang meletakkan bebanan tidak perlu ke atas usahawan mikro dan kecil dalam talian.
Menurut kenyataan itu, ketidaksamaan ini juga boleh menyebabkan peningkatan kos yang akhirnya dibebankan kepada pengguna, sekali gus menjejaskan harga produk dan kepelbagaian pilihan di pasaran.
Di bawah dasar semasa, perniagaan fizikal kecil dengan kadar pendapatan yang sama dikecualikan daripada e-invois, manakala perniagaan dalam talian masih diwajibkan mematuhi keperluan tersebut.
Wakil CCC di Malaysia, Tarmizi Anuwar berkata, sebagai sebuah persatuan pengguna, mereka amat prihatin bahawa dasar e-invois semasa yang secara tidak adil membebankan peniaga kecil dalam talian, yang kebanyakannya terdiri daripada rakyat Malaysia yang berusaha mencari rezeki.
Katanya, tidak masuk akal bahawa kedai fizikal kecil dikecualikan, tetapi perniagaan dalam talian dengan skala yang sama terpaksa menanggung kos pematuhan dan beban pentadbiran tambahan.
“Ketidakseimbangan seperti ini bukan sahaja menghalang keusahawanan digital, malah boleh mengurangkan persaingan pasaran yang sihat, sekali gus menjejaskan pilihan dan harga untuk pengguna,” katanya pada Jumaat.
Beliau berkata, banyak perniagaan dalam talian sudah menggunakan e-dompet, perbankan dalam talian, dan platform pembayaran digital yang secara automatik menjana rekod transaksi.
“Sistem kewangan sedia ada ini sudah pun menyediakan ketelusan dan kebolehkesanan, menjadikan keperluan e-invois tambahan tidak relevan serta membebankan secara birokrasi,” katanya.
Tegas beliau lagi, daripada mengenakan langkah pematuhan yang ketat, pembuat dasar sepatutnya mengiktiraf bahawa penggunaan pembayaran digital itu sendiri sudah meningkatkan akauntabiliti kewangan tanpa membebankan usahawan kecil.
“Kami menggesa kerajaan untuk mewujudkan dasar yang lebih adil dengan memberikan pengecualian yang sama kepada perniagaan kecil dalam talian.
“Menyokong pertumbuhan perniagaan kecil, tanpa mengira sama ada mereka beroperasi secara dalam talian atau luar talian, akan memastikan pengguna mendapat manfaat daripada rangkaian produk dan perkhidmatan yang lebih mampu milik, di samping menggalakkan pembangunan ekonomi digital yang adil dan inklusif di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, CCC menegaskan komitmen mereka untuk melindungi kepentingan pengguna dan perniagaan kecil serta mengalu-alukan perbincangan dengan pihak berkepentingan bagi menilai semula dasar yang memberi kesan kepada pasaran secara menyeluruh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!