Fasa tiga e-invois terima lebih 4,900 penyertaan secara sukarela - LHDN

Fasa tiga e-invois menerima lebih 4,900 penyertaan awal secara sukarela daripada pembayar cukai.
Fasa tiga e-invois menerima lebih 4,900 penyertaan awal secara sukarela daripada pembayar cukai.
A
A
A

PUTRAJAYA - Fasa tiga e-invois menerima lebih 4,900 penyertaan awal secara sukarela daripada pembayar cukai, menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Dalam kenyataan pada Sabtu, LHDN memaklumkan pelaksanaan e-invois ketika ini telah memasuki fasa kedua dan memperlihatkan peningkatan penyertaan yang amat menyakinkan.

Menurut kenyataan itu, lebih 7,000 pembayar cukai fasa dua telah menggunakan sistem e-invois setakat semalam.

"Trend positif ini mencatatkan secara keseluruhan 17,000 pembayar cukai daripada kategori syarikat, perniagaan dan organisasi telah secara aktif menggunakan sistem ini dengan melibatkan pengeluaran sekitar 137 juta e-invois.

"Jumlah ini disokong dengan peningkatan yang berterusan menunjukkan pelaksanaan e-invois semakin difahami dan diterima baik oleh pembayar cukai,” menurut kenyataan itu.

LHDN memaklumkan e-invois akan dilaksanakan secara menyeluruh pada 1 Julai 2025 melibatkan semua pembayar cukai termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Ketika ini kerajaan bersetuju untuk memberi pengecualian pelaksanaan e-invois kepada lebih 700,000 perusahaan mikro dan kecil yang mempunyai jualan tahunan di bawah RM150,000.

"Kerajaan sangat menggalakkan penglibatan perusahaan mikro dan kecil bagi melaksanakan inisiatif e-invois secara sukarela selaras dengan aspirasi negara ke arah pendigitalan operasi perniagaan,” menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Menurut LHDN kerajaan memberikan tempoh peralihan selama enam bulan bagi memberi kelonggaran kepada pembayar cukai untuk mengeluarkan e-invois disatukan, iaitu e-invois yang menggabungkan semua transaksi jualan secara bulanan.

"Sepanjang tempoh peralihan ini, penalti tidak akan dikenakan kepada pembayar cukai yang sekurang-kurangnya mengeluarkan e-invois disatukan,” menurut LHDN.

Menurut kenyataan itu Portal MyInvois boleh diakses dan digunakan secara percuma bagi proses penghantaran e-invois. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!