PUM gesa PBB, organisasi antarabangsa cari jalan selesai konflik India-Pakistan

SHAH ALAM - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan organisasi antarabangsa lain digesa memainkan peranan lebih aktif dalam mencari penyelesaian damai antara India dan Pakistan susulan ketegangan berterusan yang melanda kedua-dua negara.
Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz menegaskan, konflik yang berterusan itu hanya akan membawa kepada lebih banyak penderitaan, kehilangan nyawa tidak berdosa dan kemusnahan.
“Sebagai umat Islam, kita diajarkan untuk mengutamakan perdamaian dan mencari penyelesaian melalui dialog serta perundingan yang berhemah.
“Konflik yang berlarutan antara dua negara jiran ini bukan sahaja mengancam kestabilan rantau Asia Selatan tetapi juga memberikan impak negatif kepada keamanan dan keharmonian global.
“PUM meminta pemimpin India dan Pakistan untuk menunjukkan kebijaksanaan dan keberanian dalam mengambil langkah-langkah konkrit ke arah penyelesaian damai,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, India dilaporkan sudah lama dijangka akan bertindak balas secara ketenteraan susulan kejadian tembakan yang meragut 26 nyawa di Kashmir yang ditadbir India.
Menurut Kementerian Pertahanan India, serangan yang dinamakan Operasi Sindoor adalah sebahagian daripada komitmen untuk memastikan mereka yang bertanggungjawab atas serangan pada 22 April yang mengorbankan 25 rakyat India dan seorang rakyat Nepal.
Namun, Pakistan yang menafikan sebarang penglibatan dalam serangan tersebut, menganggap serangan ini sebagai tindakan provokatif, dengan Perdana Menteri Shehbaz Sharif menyatakan bahawa “perbuatan jenayah ini tidak akan dibiarkan begitu sahaja”.
Mengulas lanjut, Wan Mohamad berkata, beliau percaya kedua-dua negara memiliki potensi besar untuk mencapai kemajuan dan kesejahteraan bagi rakyat mereka.
“Tetapi, potensi ini akan terus terhalang selagi konflik dan ketegangan berterusan. Justeru, PUM menggesa agar segala tindakan provokatif dihentikan dan saluran komunikasi dibuka semula untuk mencari titik persamaan dan penyelesaian yang adil serta saksama bagi semua pihak.
“Komuniti antarabangsa tidak boleh berdiam diri melihat konflik ini terus berlarutan dan meragut nyawa serta masa depan generasi akan datang,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
