8 maut, 35 cedera dalam serangan India

ISLAMABAD – Angkatan Tentera Pakistan mengesahkan seramai lapan orang awam terbunuh dalam siri serangan yang dilancarkan oleh India ke atas beberapa lokasi di wilayah negara itu, awal pagi Rabu.
Jurucakap tentera Pakistan memberitahu agensi berita Reuters dan AFP, serangan udara itu turut mengakibatkan sekurang-kurangnya 35 individu cedera, manakala dua lagi dilaporkan masih hilang.
“Setakat ini, kami merekodkan sebanyak 24 serangan dilancarkan di enam lokasi berbeza,” katanya.
Serangan yang berlaku menyusul selepas India melancarkan operasi tentera dinamakan Operasi Sindoor, yang menyasarkan apa yang didakwanya sebagai kemudahan militan di Pakistan dan Kashmir yang ditadbir Pakistan.
Tindakan itu mencetuskan kebimbangan antarabangsa dengan pelbagai pihak menyeru agar kedua-dua negara bersenjata nuklear itu mengekang ketegangan bagi mengelak peperangan berskala besar.-Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

